Nak pikat selera keluarga untuk menyukai hidangan air tangan sendiri bukanlah mudah, tapi tak mustahil jika anda buat Telur Masak Tomato yang sangat lazat ini.
Telur Masak Tomato merupakan salah satu masakan Cina yang ringkas tapi sedap dengan menggunakan telur hancur dimasak bersama tomato.
Sekarang, hidangan ini telah menjadi kegemaran ramai sebagai lauk di rumah terutamanya kanak-kanak kerana ia dimasak tanpa menggunakan bawang.
Resipi Telur Masak Tomato telah dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di Facebook yang hasilnya kelihatan sungguh menyelerakan. Jom kita cuba!
Baca juga: Telur Air Asam Terlajak Mudah Dan Sedap, Lauk Viral Ini Bikin Kecur Air Liur!
RESIPI TELUR MASAK TOMATO
Bahan-bahan:
- 2 biji telur ayam (kocak)
- 2 biji tomato (potong)
- Sedikit serbuk lada sulah (sekiranya ada)
- 2 batang daun bawang (hiris)
- Sedikit air
- 2 sudu sos pencicah Thai (boleh juga guna sos cili atau sos tomato, guna salah satu antara tiga sos tersebut)
- Sedikit garam
- Sedikit minyak masak
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, kocakkan telur sehingga hancur kekuningan dan tambahkan sedikit serbuk lada sulah.
2. Selepas itu, panaskan minyak masak dan tumis hirisan daun bawang.
3. Masukkan potongan tomato dan sedikit air, kemudian masak sehingga tomato menjadi lembik.
4. Seterusnya, masukkan 2 sudu sos pencicah Thai dan taburkan sedikit garam.
5. Gaul sehingga sebati dan tomato akan menjadi semakin lembik, kemudian ketepikan tomato di sisi kuali.
6. Di bahagian ruang kosong itu, tuangkan sedikit minyak masak dan masukkan telur, kemudian biarkan seketika sehingga telur masak.
7. Setelah itu, kacau telur secara perlahan, tapi pastikan jangan terlalu hancur.
8. Apabila telur sudah agak masak, bolehlah gaulkan semuanya sehingga sebati.
9. Akhir sekali, taburkan hirisan daun bawang. Siap untuk dihidang!
Telur Masak Tomato adalah antara resipi lauk yang paling pantas dan mudah dibuat. Jika kekeringan idea untuk menyediakan lauk apa di rumah, bolehlah buat hidangan ini saja.
Selamat mencuba!
Sumber: Zurina Zulkefli
Baca juga: Resepi Telur Puyuh Berempah, Terlajak Sedap Sampai Mak Mentua Pun Puji