tealive cawangan pertama canada

Jenama teh gaya hidup Malaysia, Tealive kini berada di Amerika Utara menerusi kedai pertama di pusat bandar Ottawa, Kanada dan merancang untuk membuka 50 cawangan lagi di seluruh negara itu dalam tempoh lima tahun.

Bakal buka 50 cawangan dalam 5 tahun

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata Tealive memberi tumpuan untuk berkembang di Asia Tenggara dan tidak menyasarkan Amerika Utara secara khusus sehingga sebuah kumpulan perniagaan terkemuka yang menjalankan perniagaan pastri dan kedai roti menemui pihaknya.

Beliau berkata pihaknya yakin rakan kongsi tempatan pilihan mereka di Kanada akan menjadi padanan yang sesuai kerana mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam segmen makanan dan minuman.

“Rakan kongsi tersebut komited untuk membuka 50 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Kanada.

“Kemasukan di Kanada ini dan pengembangan yang dirancang di seluruh negara itu akan memberikan peluang kepada kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Amerika Utara secara dekat. Oleh itu, pada masa akan datang, kami mungkin turut meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS) yang menguntungkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelbagai jenis minuman & makanan melalui ‘Tealive Eats”

Loo berkata Tealive mempunyai pelbagai jenis minuman dalam portfolionya dan kini menawarkan makanan melalui ‘Tealive Eats’.

“Menu pelancaran Kanada kami sememangnya inovatif dan menarik dengan minuman dan makanan yang disediakan untuk selera tempatan tanpa menjejaskan pengalaman unik ‘Tealive breakthrough’ kami,” katanya.

Beliau berkata pembukaan kedai di kawasan komersial Somerset Street minggu lepas dibanjiri oleh peminat ‘boba’.

Beliau yakin dengan potensi pasaran global ‘bubble tea’ dan mahu menjadikan Loob bersedia untuk mengharungi gelombang seterusnya.

Menurut firma penyelidikan pasaran terkemuka, Facts and Factors, saiz Pasaran Global ‘Bubble Tea’ bernilai kira-kira US$2.1 bilion pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada kira-kira US$4.5 bilion menjelang 2026, pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 8.1 peratus di antara tahun 2021 dengan 2026, katanya.

“Tealive dikenali sebagai jenama yang ‘Lahir di Malaysia, Dibesarkan untuk Dunia’. Hari ini, kami mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta pelanggan kami di 10 negara, kerana dengan sokongan mereka, kami benar-benar global dengan kehadiran  di lima benua,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN