Puluhan pasar raya di tujuh negara Eropah dilaporkan menjadi sasaran serangan siber yang menjejaskan sistem peti sejuk dan pembeku makanan. Insiden itu menyebabkan suhu penyimpanan makanan meningkat sehingga merosakkan stok barangan.
Kejadian berkenaan melibatkan kira-kira 40 cawangan pasar raya Delhaize di Belgium dan Luxembourg. Beberapa premis di Sweden, Ireland, Belanda, Estonia serta Finland turut dilaporkan mengalami masalah sama.
Menurut syarikat pengeluar peralatan penyejukan dari Belgium, Sabcobel, sistem penyejat dalam sebahagian unit yang terjejas telah ditukar kepada mod nyah beku.
Keadaan ini menyebabkan suhu di dalam peti sejuk meningkat secara mendadak, dipercayai menggunakan kaedah yang sama seperti serangan terhadap ratusan pasar raya di Perancis pada bulan lalu.
Dalam kejadian pada Oktober lalu, makanan bernilai jutaan euro dilaporkan terpaksa dibuang selepas sistem penyejukan di beberapa pasar raya negara itu turut menjadi sasaran serangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabcobel, Stephan Moelans mengesahkan kepada agensi berita Belga pada Isnin bahawa kejadian terbaharu itu berpunca daripada serangan siber.
Menurut beliau, pihak syarikat bekerja sepanjang malam hingga ke pagi untuk memutuskan sambungan unit yang terjejas daripada rangkaian bagi mengelakkan gangguan berterusan.
Sejak serangan yang berlaku di Perancis pada awal Oktober, Sabcobel juga sudah berusaha memperkukuh perlindungan sistem penyejukan pelanggan daripada kelemahan keselamatan yang sama.
Bagaimanapun, Moelans menjelaskan bahawa usaha melindungi peralatan berkenaan memerlukan pengubahsuaian dari segi fizikal dan bukan sekadar memasang kemas kini perisian seperti yang lazim dilakukan.
Kebanyakan pasar raya di Eropah menggunakan sistem penyejukan yang mempunyai sambungan internet. Teknologi ini membolehkan kerja penyelenggaraan dan pemeriksaan kerosakan dilakukan dari jarak jauh.
“Kaedah paling mudah ialah menguruskan peti sejuk melalui sambungan internet yang selamat dan kebanyakan pelanggan kami beralih kepada sistem itu selepas serangan di Perancis,” katanya.
Dalam pada itu, laporan mendakwa suhu di dalam peti pembeku di beberapa premis sekitar Eropah meningkat sehingga mencecah 50 darjah Celsius.
Sehingga kini, identiti pihak yang melakukan serangan terbaharu itu masih belum dikenal pasti, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.
Di Amerika Syarikat, pihak berkuasa turut menyiasat punca kerosakan sistem penyejukan di beberapa pangkalan tentera negara itu yang berlaku pada Ogos lalu.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat juga bekerjasama dengan pegawai Perancis untuk menyiasat kemungkinan insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan serangan terhadap sistem penyejukan pasar raya.
Agensi keselamatan siber kebangsaan Belgium dan Sweden memaklumkan bahawa mereka sedang mengikuti perkembangan kejadian itu bagi menilai tahap ancaman yang berlaku.
Sementara itu, Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan United Kingdom berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan antarabangsa serta pemain industri untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden berkenaan.
Bagaimanapun, agensi tersebut mengesahkan bahawa tiada kejadian seumpama itu dilaporkan berlaku di United Kingdom setakat ini.
Di wilayah Flanders, utara Belgium, sebuah cawangan Delhaize di Hoeilaart turut melaporkan kerugian besar susulan kejadian tersebut.
Menurut pengurus premis berkenaan kepada laman berita Het Laatste Nieuws, nilai makanan yang terpaksa dibuang dianggarkan mencecah 100,000 euro (RM465,000).
Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah itu belum termasuk kerugian pendapatan yang terpaksa ditanggung kerana pasar raya berkenaan perlu ditutup buat sementara waktu.
Sumber: BBC
Baca juga: Kilang Lee Biscuits Di Pontian Henti Operasi Selepas 92 Tahun, Jenama Legenda Sejak 1934
Sup rumpai laut merupakan hidangan berkuah yang sesuai dijadikan pilihan untuk makan malam. Rasanya yang…
Nak hasilkan tomyam yang rasanya masam pedas, cukup rasa dan beraroma seperti di restoran Thai?…
Nak sediakan pencuci mulut yang sedap tanpa perlu menggunakan oven? Resipi puding roti tanpa oven…
Ikan bakar tomyam boleh dijadikan pilihan lauk untuk makan tengah hari atau makan malam bersama…
Teringin nak makan sizzling yee mee sedap seperti di restoran, tetapi tiada hotplate di rumah?…
Resepi ketam masak cili ini sesuai untuk penggemar makanan laut yang sukakan hidangan berkuah pekat…