Sebut sahaja rojak buah pasti membuatkan kita membayangkan keenakan buah-buahan segar seperti nanas, mangga, jambu dan sengkuang yang dihiris nipis serta dimakan bersama sos seperti sos namplawan.
Namplawan ini adalah kuah yang biasa dimakan bersama buah-buahan di Thailand. Rasa dia memang sedap! Lengkap dengan rasa manis, masin dan sedikit pedas.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana rasa sos ini, jom cuba buat sendiri! Menu ringkas ini pasti akan menjadi antara makanan kegemaran anda ketika bersantai di waktu petang.
CARA BUAT SOS NAMPLAWAN
Bahan-bahan:
- 1 cawan sos ikan
- 1/2 cawan air
- 5 sdb gula kabung Thai
- 4 keping nisan
- Sedikit belacan
Bahan tambahan:
- 5 ulas bawang merah hiris nipis
- 1 genggam udang geragau
- 2 sdb cili flakes
- 10 biji cili padi merah hijau (potong atau tumbuk kasar)
Cara-cara:
- Panaskan sos ikan dan air hingga mendidih. Masukkan gula kabung thai dan nisan.
- Kacau hingga gula kabung dan nissan cair dan masukkan belacan.
- Masak dengan api sederhana hingga sos betul-betul pekat. Tutup api.
- Masukkan bawang merah hiris, udang geragau, cili flakes dan cili padi yang dipotong.
- Kacau hingga sebati, tunggu sejuk boleh dimakan dengan mangga dan nenas.
P/S: Kuah colek mesti ada rasa manis, masin dan sedikit pedas. Kuah akan likat bila betul-betul sejuk.
Kredit: Rosmaliza Omar