Kali ini, kami kongsikan resipi aiskrim Malaysia yang mudah serta lembut apabila digigit oleh Cik Puan Nurul Zainuddin menerusi laman sosial Facebook.
Aiskrim Malaysia adalah dessert klasik yang digemari ramai sejak dulu lagi. Teksturnya yang lembut dan rasa manis yang menyegarkan, ia sentiasa menjadi pilihan kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Jom cuba!
Baca lagi: Resipi Telur Itik Masak Lemak, Rupanya Kena Letak ‘INI’ Untuk Lagi Sedap
RESIPI AISKRIM MALAYSIA
Bahan-bahan yang Diperlukan:
- 1 tin susu pekat
- 1 tin susu cair
- 5 tin air (gunakan tin susu sebagai ukuran)
- 2 sudu besar tepung jagung (pastikan membukit)
- 2 senduk gula (boleh tambah mengikut cita rasa)
- 1 sudu kecil creamy vanilla atau esen vanilla (pilihan, jika ada)
- Sedikit garam
Cara Penyediaan:
1. Ambil periuk yang bersesuaian dan masukkan semua bahan di atas iaitu susu pekat, susu cair, air, tepung jagung, gula, creamy vanilla (jika ada) dan garam. Kacau sehingga semua bahan larut dengan sempurna.
2. Letakkan periuk di atas dapur dan mula masak bancuhan pada api sederhana. Sentiasa kacau bancuhan untuk mengelakkan ia hangit di dasar periuk.
3. Kacau sehingga bancuhan mendidih dan teksturnya menjadi lebih pekat.
4.Rasa bancuhan dan jika perlu, tambah gula mengikut cita rasa anda. Aiskrim Malaysia yang sedap mestilah cukup manis kerana apabila ia beku, rasa manis akan berkurang. Jadi, pastikan bancuhan anda cukup “manis leting” untuk mendapatkan aiskrim yang lembut apabila digigit.
5. Sementara menunggu bancuhan sejuk, anda boleh mula menyediakan plastik aiskrim. Tambahkan bahan-bahan pilihan seperti coki-coki, nabati waffle, sumi, cookies, atau cereal di dalam plastik aiskrim untuk variasi rasa dan tekstur.
6. Setelah bancuhan sejuk, anda boleh mula memintal aiskrim ke dalam plastik dan simpulkan dengan kemas.
7. Simpan plastik aiskrim yang telah dipintal ke dalam peti sejuk beku (freezer) sehingga aiskrim beku sepenuhnya. Setelah beku, aiskrim sedia untuk dinikmati!
Tip untuk Aiskrim Lembut dan Sedap:
- Pastikan bancuhan cukup manis sebelum dimasukkan ke dalam plastik. Rasa manis akan berkurang apabila aiskrim dibekukan, jadi jika anda inginkan tekstur lembut dan rasa yang tidak hambar, pastikan tahap kemanisan mencukupi.
- Anda juga boleh menambah pelbagai bahan tambahan ke dalam aiskrim seperti cereal, coklat, atau wafer untuk variasi rasa.
Sumber: Nurul Zainuddin
Baca lagi: Sedapnya.. Jom Cuba Kek Lof Pandan Kelapa Yang Kurang Manis, Lembut & Wangi!