
Siapa kata kena tunggu pergi pantai baru boleh makan lauk celup tepung? Dengan resepi Sotong Celup Tepung ini, anda boleh buat sendiri untuk keluarga tersayang di rumah.
Sotong Celup Tepung adalah hidangan popular di Malaysia yang mudah dijumpai di kedai makan tepi pantai terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.
Resepi Sotong Celup Tepung yang dikongsikan oleh Adylla Omar di Facebook ini lengkap dengan tips untuk buat salutan tepung yang melekat elok dan cantik. Jom kita cuba!
Baca juga: Ikan Celup Tepung Terengganu, Ada Petua Tepung Rangup Dan Melekat Elok
RESEPI SOTONG CELUP TEPUNG RANGUP

Bahan-bahan:
- 5 atau 6 ekor sotong
- 1 biji bawang putih
- Sedikit cuka epal atau cuka biasa
- Serbuk lada sulah
- 1 biji telur
- 1½ senduk tepung jagung
- 1 senduk tepung serbaguna bestari pedas
- ½ senduk tepung beras
- Minyak masak
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, potong sotong kecil-kecil, basuh dan sejat.
2. Selepas itu, tumbuk bawang putih dan ratakan pada sotong.
3. Letak sedikit cuka epal (cuka biasa pun boleh) dan serbuk lada sulah, kemudian gaul sebati dan ketepikan dahulu.
*Tips tak nak bagi sotong meletup semasa menggoreng. Sangat menjadi. Tak perlu takut semasa goreng meletup-letup.
4. Kemudian, pukul sebiji telur (pukul manja saja untuk memastikan tepung melekat elok pada sotong nanti).
5. Seterusnya, buat bancuhan tepung dengan mencampurkan tepung jagung, tepung serbaguna bestari pedas dan tepung beras.

6. Setelah itu, celup sotong dalam telur biar sekata. Masukkan sotong dalam tepung satu demi satu dan pastikan semua tepung menyaluti keseluruhan permukaan sotong tersebut.
*Tips nak goreng nampak cantik, semasa salut tepung, pastikan tepung yang menyaluti sotong itu nampak sekata saja (tak basah). Jika tepung itu basah melekit saja pada sotong, maksudnya tak jadi.
7. Kemudian, panaskan minyak. Minyak kena banyak dan betul-betul panas. Jika minyak tak betul-betul panas semasa goreng, tepung akan jadi tak rangup.
8. Akhir sekali, goreng dengan api sederhana. Letak sotong, tunggu garing sedikit, baru balik-balikkan sampai jadi warna keemasan. Jangan goreng lama sangat, nanti sotong keras.
Dengan resepi Sotong Celup Tepung ini, hasilnya memang puas hati. Bukan saja tepung melekat elok dan tak hancur, malah garing sampai ke petang.
Selamat mencuba!
Sumber: Adylla Omar
Baca juga: Sotong Goreng Tepung Rangup Anti Tanggal, Wajib Gaul Dalam Dua Tepung ‘Ini’
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














