Kalau anda sedang mencari resepi rendang hijau yang berempah, wangi dan cukup rasa, boleh cuba versi rendang ayam hijau ini. Istimewanya, bahan rempah disangai terlebih dahulu sebelum dikisar dan dimasukkan ke dalam rendang. Hasilnya memang lebih harum dan menyelerakan.

Gabungan cili hijau, cili padi, serai, halia dan lengkuas menghasilkan kuah rendang yang kaya dengan aroma rempah. Ditambah pula dengan kerisik dan santan, kuahnya menjadi pekat, berlemak dan bersalut elok pada ayam.

Menariknya, kuah rendang yang pekat dan penuh rasa ini memang sedap dimakan bersama nasi panas. Kalau ada lebihan kuah, jangan cepat-cepat buang kerana boleh juga dijadikan pencicah untuk roti sandwich. Memang rugi kalau tak cuba!

Baca juga: Resipi Rendang Tok Perak Yang Pekat Gelap & Berempah Wangi, Rasa Macam Air Tangan Mak Dulu-Dulu!

RESEPI RENDANG HIJAU AYAM BEREMPAH

Bahan-bahan rempah sangai:

  • 1 sudu makan biji ketumbar
  • 1 sudu makan jintan manis
  • 1 sudu makan jintan putih

Bahan-bahan untuk dikisar:

  • 3 batang serai, dihiris
  • 8 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang besar
  • 1 ½ inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • Cili padi secukupnya
  • 8 batang cili besar hijau
  • 4 biji buah keras
  • Air secukupnya

Bahan-bahan lain:

  • 1 ½ kg ayam, dipotong
  • Minyak secukupnya untuk menumis
  • Daun kunyit secukupnya, dihiris halus
  • 2 pek kecil kerisik
  • 100 ml santan kotak atau secukupnya
  • 1 ½ sudu makan rempah sangai
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa secukupnya, jika suka
  • Gula secukupnya

Cara-cara penyediaan:

  1. Mula-mula, sangai biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih dalam kuali tanpa minyak menggunakan api kecil. Kacau hingga rempah menjadi wangi dan sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Kisar bahan-bahan yang telah disediakan untuk dikisar bersama sedikit air sehingga menjadi pes yang halus.
  3. Panaskan minyak dalam kuali yang sesuai. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.
  4. Masukkan rempah sangai yang telah disangai tadi. Kacau rata dan tumis seketika supaya aroma rempah lebih naik.
  5. Masukkan ayam dan gaul sehingga ayam bersalut rata dengan bahan tumisan.
  6. Tuangkan air secukupnya, kira-kira sehingga ayam hampir terendam. Biarkan ayam masak dan kuah mula menyusut.
  7. Kemudian, masukkan santan dan kerisik. Kacau perlahan-lahan supaya semuanya sebati.
  8. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa jika digunakan. Masak menggunakan api kecil sambil dikacau sekali-sekala.
  9. Teruskan memasak sehingga kuah rendang menjadi pekat, berminyak dan bersalut elok pada ayam.
  10. Akhir sekali, masukkan hirisan daun kunyit. Kacau seketika dan tutup api.
  11. Rendang hijau ayam berempah siap untuk dihidangkan bersama nasi putih panas.

Sumber: Nurul Syafiqah

Baca juga: Resepi Rendang Daging Tok Pekat Berempah, Masak Sekali, Makan Berkali-kali!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending