Selera makan sering berubah sampaikan lihat resepi Bihun Goreng Singapore pun boleh terliur. Jika masak untuk keluarga di rumah, pasti akan dimakan sampai licin.
Sesetengah orang menyebutnya sebagai bihun goreng putih dan ada juga yang memanggilnya bihun goreng lada hitam. Walau bagaimanapun, kesedapannya tak disangkal lagi.
Nor Farah Atika telah kongsikan resepi Bihun Goreng Singapore di Facebook yang caranya sangat ringkas dan mudah dibuat. Jom kita cuba!
Baca juga: Tips Goreng Bihun Supaya Tak Lembik, Hasil Pun Menjadi Tanpa Rasa Kejung!
RESEPI BIHUN GORENG SINGAPORE
Bahan-bahan:
- 1 pek bihun 400g
- 2 hingga 3 biji bawang merah
- 5 hingga 6 ulas bawang putih
- ½ genggam ikan bilis
- Black pepper secukupnya
- 4 hingga 5 sudu besar sos tiram
- Garam, gula, ajinomoto atau serbuk cukup rasa
- Lobak merah (disagat)
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, rendam bihun dalam air suam selama 10 minit, kemudian toskan.
2. Kemudian, kisar kasar 3 bahan iaitu bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
3. Selepas itu, tumiskan sampai naik bau dan masukkan black pepper bersama sos tiram.
4. Setelah bahan tumis sudah garing, boleh masukkan ayam, daging, telur atau udang mengikut citarasa. Jika suka pedas, boleh kisar cili api dan masukkan juga.
5. Seterusnya, masukkan garam dan terpulang nak letak ajinomoto, serbuk cukup rasa atau gula mengikut selera. Jika suka lebih pedas, boleh tambah cili api sekali dengan bahan tumis tersebut.
6. Akhir sekali, masukkan bihun dan lobak merah. Jika tak nak bihun hancur, jangan kerap gaul. Boleh guna teknik kaup atau tarik-tarik guna garfu. Siap untuk dihidang!
Resepi Bihun Goreng Singapore sering menjadi pilihan terbaik sebagai menu berkelah, jamuan atau potluck. Jika suka, anda boleh jadikannya sebagai hidangan untuk keluarga tersayang di rumah.
Bagi menambahkan lagi kelazatan Bihun Goreng Singapore ini, anda boleh gandingkannya bersama sambal kicap yang lazat dan selera pasti lebih terangkat nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Farah Atika
Baca juga: Mee Siam Goreng Singapore, Kering-Kering Begini Buat Selera Terangkat!