
Tempura adalah salah satu hidangan popular yang berasal dari Jepun dan terkenal dengan teksturnya yang rangup. Namun, jika bancuhan tepung tempura tidak disediakan dengan betul, tempura yang digoreng akan mudah menyerap minyak dan tak rangup.
Untuk mengelakkan masalah ini, cubalah resipi bancuhan tempura yang dikongsikan oleh Encik Suhaili Mohd Zain di bawah. Ia bukan sahaja mudah disediakan, malah dijamin kekal rangup walaupun dimakan dalam keadaan sejuk.
Baca juga: Cara Buat Ayam Goreng Berempah Berserdak Rangup, Sedap Meratah!
RESEPI BANCUHAN TEPUNG TEMPURA RANGUP

Bahan-bahan:
- 200g tepung naik sendiri
- 2 biji telur
- 360ml air sejuk (diletakkan dalam bekas besi)
Semua bahan di atas hendaklah dimasukkan ke dalam peti ais selama kira-kira 1 jam sebelum digunakan.
Cara-cara penyediaan:
- Potong sayur-sayuran dan bahan protein yang akan digunakan. Antara bahan yang disarankan adalah terung, labu, bendi, lobak merah, timun, cendawan shiitake dan cendawan enoki. Untuk protein, boleh gunakan salmon, ayam (bahagian peha yang dipotong seperti nak buat chicken chop), udang (dibuang kepala dan kulit, hanya tinggalkan ekor), serta daging wagyu yang dipotong memanjang. Ketepikan bahan-bahan ini selepas disediakan.
- Masukkan beberapa ketul ais ke dalam bekas berisi ais dan kacau supaya ais hancur. Ini bertujuan untuk memastikan air benar-benar sejuk.
- Pecahkan 2 biji telur ke dalam bekas berisi ais tadi dan kacau rata. Air telur akan menjadi seperti air susu.
- Tapis tepung ke dalam bekas berisi air telur sedikit demi sedikit. Jangan kacau terlampau, cukup sekadar kacau untuk memastikan tepung sebati dengan air telur. Tapis tepung supaya mudah sebati. Adunan akan kelihatan sedikit bergumpal, tetapi itu tidak mengapa.

- Panaskan minyak dalam kuali dan titiskan sedikit adunan tepung ke dalam minyak. Tepung yang dititiskan harus terapung di permukaan minyak. Gunakan penapis kecil untuk mengaut tepung tersebut.

- Celupkan bahan-bahan yang telah disediakan ke dalam adunan tepung, satu per satu dan masukkan ke dalam minyak panas. Perlahankan api dan gunakan api sederhana untuk menggoreng. Pastikan tepung meliputi bahan gorengan dengan sempurna. Mulakan dengan menggoreng sayur terlebih dahulu, diikuti dengan bahan protein dan akhiri dengan daging yang lebih berat.

- Setiap kali mengangkat bahan gorengan, pastikan serdak tepung dikaut keluar. Jika tidak, minyak akan cepat menjadi hitam dan bahan gorengan akan hangus serta tidak cantik.
- Goreng bahan satu persatu dengan sabar. Jangan masukkan terlalu banyak bahan sekali gus kerana ia boleh menyebabkan bahan gorengan melekat antara satu sama lain. Apabila bahan dimasukkan ke dalam kuali, gunakan sumpit untuk meleraikan bahan-bahan supaya tepung kekal bersalut dengan baik. Gunakan sepit untuk mengangkat bahan gorengan satu persatu bagi mengekalkan kecantikan tempura.

Tempura ini boleh dihidangkan dengan sos cili Thai, sos teppanyaki atau kicap cair dengan minyak bijan. Ia juga sedap dimakan bersama nasi sumo Jepun atau boleh dipadankan dengan Nasi Goreng Cina.
Cubalah resipi ini untuk iftar atau berbuka puasa bersama keluarga! Tempura ini mudah disediakan, namun teknik yang betul amat penting untuk memastikan hasil yang sempurna.
Sumber: Suhaili Mohd Zain
Baca juga: Rupanya Ini Petua Sotong Goreng Rangup, Tepung ‘Tak Lari’ & Melekat Elok!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














