Daging liat sering menjadi cabaran apabila memasak terutama bagi yang tidak memiliki periuk tekanan (pressure cooker). Namun, jangan risau! petua lembutkan daging liat yang diwarisi dari zaman dahulu masih relevan dan berkesan untuk memastikan daging cepat empuk dan sedap.
Tidak kira daging lembu, kambing, atau ayam, teknik ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis daging. Pilih mana-mana cara yang sesuai dengan keadaan anda dan cuba sendiri.
Selain itu, petua ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga mudah dilakukan tanpa memerlukan peralatan moden. Cubalah mana-mana cara ini dan nikmati daging yang lembut, sedap, dan tidak liat.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba. Dalam banyak-banyak petua ini, cara nombor 5 adalah yang paling mudah dan biasa dilakukan.
Baca lagi: Beza Butter Dan Marjerin, Mana Yang Lebih Bagus Untuk Buat Kuih Atau Kek?
PETUA LEMBUTKAN DAGING LIAT
1. Potong Daging Mengikut Arah Urat
Cara memotong daging sangat penting. Sebelum memotong, perhatikan arah urat daging. Potong daging melawan arah urat untuk memastikan urat terputus. Ini akan menjadikan daging lebih mudah lembut semasa dimasak.
2. Rebus Daging dengan Periuk Bertutup Rapat
Orang dulu-dulu menggunakan cara ini:
- Rebus daging dalam periuk dengan menutupnya rapat menggunakan tudung periuk.
- Letakkan pemberat seperti lesung batu di atas tudung periuk untuk memastikan wap tidak keluar.
- Jangan masukkan garam semasa merebus! Garam hanya perlu ditambah pada peringkat akhir memasak untuk memastikan daging tidak keras.
3. Rebus Bersama Kurma
Petua unik ini menggunakan buah kurma.
- Masukkan beberapa biji kurma atau hanya bijinya ke dalam rebusan daging.
- Selain melembutkan daging, kurma juga memberikan rasa manis semula jadi pada sup.
- Tempoh memasak bergantung pada jumlah air dan tahap api.
4. Gunakan Nenas
Nenas terkenal dengan sifat asidiknya yang dapat melembutkan daging.
- Masukkan 1-2 hirisan nenas ke dalam rebusan daging.
- Jangan berlebihan, kerana rasanya boleh mendominasi dan mengubah masakan menjadi seperti pajeri nenas!
5. Sapukan Soda Bikarbonat
Ini adalah cara paling mudah dan popular.
- Sapu daging dengan soda bikarbonat dan biarkan seketika.
- Bilas daging sebelum memasaknya untuk memastikan rasa soda tidak mempengaruhi hidangan.
- Cara ini amat berkesan untuk mempercepatkan proses melembutkan daging.
6. Masukkan Sudu Logam ke Dalam Rebusan
Petua klasik ini mengatakan bahawa memasukkan sudu logam ke dalam periuk rebusan daging boleh membantu mempercepatkan proses melembutkan.
- Sudu dipercayai meningkatkan suhu dalam periuk, sekaligus menjadikan daging lebih cepat empuk.
7. Teknik Dua Periuk untuk Daging Beku
Jika anda ingin melembutkan daging beku dengan cepat, cuba teknik ini:
- Letakkan periuk logam pertama secara terbalik.
- Letakkan daging beku di atas permukaan periuk itu.
- Kemudian, letakkan periuk logam kedua di atas daging.
- Berat periuk atas membantu daging beku cepat mencair dan mudah dihiris.
Anda dah cuba mana satu?
Sumber: Zubaiyah Hassan
Baca lagi: Resipi Kek Cawan Coklat, Ini Rahsia Nak Dapat Permukaan Yang ‘Perfect’!