Bahan pembersih dapur semula jadi seperti lemon, cuka, dan soda bikarbonat di atas kaunter dapur bersih.

Bahan semula jadi yang sedia ada di dapur mampu membersihkan kotoran degil tanpa perlu cecair kimia mahal.

Pernahkah anda berdepan situasi seperti ini? Selepas penat menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga, proses membersihkan dapur selepas memasak sering menjadi cabaran utama.

Sinki berminyak, papan pemotong berbau hanyir walaupun sudah dibasuh serta bekas simpanan makanan bertukar warna kekuningan akibat kesan kunyit.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila cecair pembersih khusus sudah habis. Penggunaan bahan kimia berkepekatan tinggi pula kerap menimbulkan rasa bimbang terutama bagi kediaman dengan anak-anak kecil.

Sebenarnya, penyelesaian masalah ini sudah sedia ada di dalam kabinet dapur anda. Anda tidak perlu membazirkan wang untuk membeli produk pembersih kimia mahal.

Mari semak 5 bahan dapur semula jadi yang sangat efektif ini untuk mengembalikan kebersihan dapur anda!

Baca juga: Trik Sembunyi Sayur Dalam Makanan Untuk ‘Picky Eater’. Anak Makan Bertambah, Ibu Senyum Lebar!

1. SODA BIKARBONAT + CUKA

Tindak balas buih cuka dan soda bikarbonat untuk membersihkan kuali hangus dan sinki.

Tindak balas buih cuka dan soda bikarbonat membantu menanggalkan kerak hangus dengan mudah.

Sesuai untuk masalah seperti sinki berbau, sisa makanan hangus melekat di dasar kuali, serta lapisan minyak tipis dalam saluran air. Anda hanya perlu taburkan 2 hingga 3 sudu besar soda bikarbonat pada permukaan kuali yang hangus atau terus ke dalam lubang sinki.

Kemudian, tuangkan cuka makan. Tindak balas buih akan berlaku serta-merta. Biarkan selama 15 minit sebelum disental secara perlahan dan dibilas menggunakan air panas.

Kaedah ini sangat berkesan untuk menanggalkan kerak hangus dan menghapuskan bau kurang menyenangkan pada sinki. Walau bagaimanapun, petua ini lebih sesuai untuk cucian berkala atau kerak ringan.

Sekiranya paip tersumbat akibat ketulan minyak tepu yang tebal, penggunaan air mendidih atau khidmat tukang paip amat digalakkan.

2. LEMON + GARAM KASAR

Langkah menyental papan pemotong kayu menggunakan buah lemon dan garam kasar.

Sentalkan separuh buah lemon yang dicelup garam kasar untuk menyerap bau hanyir pada papan pemotong.

Kombinasi ini dapat membantu menhilangkan bau hanyir ikan, bawang atau daging yang melekat pada papan pemotong kayu mahupun plastik, serta kesan tompok air pada sinki keluli tahan karat.

Hanya potong buah lemon kepada dua bahagian, celup permukaan potongan ke dalam garam kasar dan sental pada papan pemotong sebagai penyental semula jadi.

Garam bertindak sebagai agen penyental fizikal yang memisahkan kotoran tanpa merosakkan permukaan, manakala asid sitrik daripada lemon memecahkan komponen bau hanyir.

Gabungan lemon dan garam merupakan petua popular untuk membasmi bau hanyir. Namun harus diingat, lemon bukannya cecair pembasmi kuman. Selepas menyental papan pemotong yang digunakan untuk daging atau ayam mentah, pastikan anda mencucinya dengan sabun pencuci pinggan dan air suam bagi memastikan kebersihan terjamin.

3. SERBUK KOPI ATAU ARANG

Mangkuk berisi hampas kopi diletakkan di dalam peti ais untuk menyerap bau busuk.

Letakkan mangkuk berisi hampas kopi atau arang di sudut peti ais untuk menyerap bau makanan.

Bagi masalah peti ais berbau, elakkan membuang hampas kopi selepas dibancuh. Keringkan serbuk kopi tersebut, masukkan ke dalam mangkuk kecil dan letakkan di sudut peti ais. Sekiranya tiada kopi, beberapa ketul arang kayu juga boleh digunakan.

Kaedah ini terbukti secara saintifik. Kandungan nitrogen dalam kopi membantu menetralkan bau sulfur, punca utama bau kurang menyenangkan daripada bahan masakan.

Sementara arang kayu mempunyai struktur berliang yang bertindak menyerap bau persekitaran secara efektif. Tukar bahan ini setiap 2 hingga 3 minggu sekali untuk hasil optimum.

4. AIR BILASAN PERTAMA BERAS

Bekas plastik berminyak

Rendam bekas plastik berminyak dalam air bilasan beras pertama selama 20–30 minit sebelum dibasuh.

Anda boleh menggunakan bahan ini pada bekas plastik yang melekit akibat minyak serta bekas dengan kesan kuning kunyit yang sukar dibersihkan.

Caranya, simpan air bilasan pertama apabila membasuh beras. Rendam bekas plastik yang berminyak atau bertukar warna ke dalam air beras tersebut selama 20 hingga 30 minit. Selepas itu, basuh seperti biasa menggunakan cecair pencuci pinggan.

Petua warisan ini mempunyai penjelasan saintifik tersendiri. Zarah kanji di dalam air beras bertindak mengikat molekul minyak dan memisahkan lapisan lemak daripada permukaan plastik dengan mudah.

5. KULIT LIMAU / APPLE + AIR SUAM

Mangkuk air berwap bersama kulit limau di dalam ketuhar gelombang mikro.

Wap air panas bersama kulit limau melembutkan kerak minyak di dalam microwave supaya mudah dilap.

Kombinasi bahan ini sesuai digunakan pada percikan minyak dan kuah masakan yang melekat pada dinding ketuhar gelombang mikro.

Hanya masukkan mangkuk mesra microwave yang diisi air suam bersama beberapa kulit limau kasturi, lemon atau kulit epal. Panaskan di dalam microwave selama 3 hingga 5 minit sehingga air mendidih dan mengeluarkan wap.

Biarkan pintu microwave tertutup selama 2 minit, kemudian lapkan kotoran minyak yang telah lembut menggunakan kain mikrofiber bersih.

Wap air panas akan melembutkan kerak degil, manakala minyak semula jadi daripada kulit limau bertindak melarutkan gumpalan minyak sambil meninggalkan aroma segar tanpa sebarang bahan kimia berbahaya.

Antara 5 petua di atas, yang manakah sering anda amalkan di rumah? Atau adakah anda mempunyai petua pembersihan dapur lain yang lebih berkesan?

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN