PENULIS

myResipi

KATEGORI

Artikel

POSTED ON

2020-08-11 07:27:17

Masalah kembung perut ini terjadi apabila badan bertindak mengeluarkan angin yang berlebihan. Puncanya terhasil bila seseorang yang menelan makanan bersama air liur. Inilah yang menimbulkan rasa tidak selesa pada perut dan juga seluruh badan. Seseorang individu juga mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas, duduk dan bergerak. Kebiasaannya masalah ini berpunca dari pemakanan yang salah. Namun,  anda tidak perlu risau kerana masalah kembung perut tidak akan mendatangkan masalah kesihatan yang serius dan masih boleh diatasi dengan beberapa cara. Oleh itu, ikuti beberapa petua bermanfaat ini yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia.


Kredit: The Malaya Post

 

1. Kurangkan makanan yang berangin


Kredit: Daily Makan

Mengelakkan daripada memakan makanan yang berangin dapat membantu mengurangkan risiko perut kembung kepada seseorang. Ini sangat digalakkan khususnya kepada jenis orang yang sememangnya ‘berangin’. Antara makanan yang dikategorikan sebagai berangin adalah seperti kekacang, brokoli, kobis, dan juga asparagus. Makanan yang diproses berkali-kali seperti mi, bihun dan kuey tiau juga menyebabkan badan berangin. Oleh itu, cuba untuk kurangkan memakan makanan tersebut. Selain makanan, elakkan juga meminum air yang berkafein seperti kopi dan teh.

 

2. Minum air halia


Kredit: Mstar
 

Halia dikenali sebagai salah satu dari petua tradisional yang terbaik untuk melegakan perut kembung. Remedi semula jadi ini memang sudah selalu digunakan sejak turun temurun. Secara khususnya, meminum air halia dapat merawat rasa mual akibat masalah perut kembung. Tambahan lagi, halia ini sifatnya adalah anti-radang, menjadikannya mudah untuk membantu mengembangkan saluran penghadaman dalam perut.

 

3. Kurangkan makanan yang sukar dihadam


Kredit: Damai Jiwa 
 

Memakan makanan yang jenis sukar dihadam juga menjadi punca kepada masalah perut kembung. Sebagai contoh, bawang, cendawan dan kacang badam. Seperti bawang, kita sukar untuk elak dari memakannya kerana ia adalah bahan asas dalam masakan. Oleh itu, cara yang lebih baik ialah dengan mengurangkan kuantiti makanan ini supaya perut kita dalam keadaan terkawal.

 

4. Elakkan minuman berkarbonat


Kredit: First Cry Parenting
 

Seperti yang kita sedia tahu, air-air berkarbonat ini mengandungi kadar gas yang banyak dan gula yang tinggi. Elemen-elemen ini merupakan penyebab kepada masalah perut kembung dan menyebabkan badan berasa kurang selesa. Bagi anda yang memang sudah terbiasa meminum air berkarbonat ini, anda boleh cuba untuk mengurangkannya dengan menggantikan kepada air kosong sedikit demi sedikit. Ini kerana air kosong mempunyai banyak khasiat untuk badan kita. Lama kelamaan anda akan terbiasa meminum air kosong berbanding air berkarbonat sekali gus dapat mengelakkan masalah perut kembung.

 

5. Kurangkan pengambilan garam


Kredit: Mashed
 

Tips ini mungkin agak sukar untuk diikuti kerana kebanyakan makanan di Malaysia mempunyai kadar garam sendiri untuk memastikan rasanya enak dan lazat. Ini termasuklah makanan-makanan ringan yang kita sering beli di kedai-kedai runcit. Bagi mengurangkan rasa kembung perut, anda perlu lah mengambil berat tentang pengambilan garam dalam makanan anda. Untuk masakan, anda boleh menggantikan garam biasa kepada garam bukit kerana ianya lebih baik untuk kesihatan anda. Manakala bagi para penggemar makanan ringan, cuba untuk memilih makanan yang kurang masin.

 

Dalam hal kesihatan, kita perlu lah berhati-hati dalam memilih makanan supaya dapat mengelakkan masalah dalaman berlaku. Cuba amalkan tips-tips ini sekiranya anda mengalami perut kembung. Semoga bermanfaat buat semua dan selamat mencuba!