Nama Harumanis Perlis memang cukup terkenal dengan aroma harum, rasa manis dan keenakan isinya. Namun, timbul isu apabila mangga import dari Indonesia dikesan menggunakan nama Harumanis Perlis sebagai tarikan jualan menerusi siaran langsung di TikTok.
Lebih mengejutkan, buah berkenaan dipromosikan dengan harga murah menggunakan ungkapan seperti ‘harum manis, wangi, murah dari Perlis punya’ dan ‘lelong harga harum manis’, sedangkan penjual gagal mengemukakan bukti bahawa mangga tersebut benar-benar daripada varieti Harumanis.
Baca juga: Peniaga Tidak Lagi Boleh Guna Nama & Logo ‘Nasi Kerabu Kelantan’ Sesuka Hati, Ini Sebabnya
Menurut Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan, penjualan buah-buahan import bukanlah satu kesalahan selagi peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, setiap produk perlu menggunakan nama varieti yang betul serta menyatakan negara asal, gred dan maklumat pelabelan dengan jelas supaya pengguna tidak tersalah anggap ketika membuat pembelian.
Beliau menjelaskan bahawa Harumanis Perlis mempunyai identiti dan reputasi tersendiri, selain memiliki nilai ekonomi yang tinggi. Malah, varieti tersebut turut didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi (GI).
Isu ini mula mendapat perhatian selepas FAMA menerima empat aduan, termasuk tiga aduan daripada pengguna menerusi media sosial dan satu lagi daripada Persatuan Harumanis Perlis.
Susulan aduan tersebut, pemeriksaan dilakukan di sebuah premis di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 November lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati mangga berkenaan sebenarnya dijual dalam kotak berlabel Mangga Alpukat Indonesia. Namun, pihak premis gagal membuktikan bahawa buah tersebut merupakan varieti Harumanis.
Pihak berkenaan kemudian diarahkan supaya menggunakan nama produk yang sebenar, memadam hantaran promosi berkaitan serta membuat pembetulan pada pelabelan, termasuk ketika melakukan siaran langsung.
Selain isu penggunaan nama Harumanis, harga jualan mangga berkenaan turut menjadi perhatian.
Di premis yang diperiksa, Mangga Alpukat Indonesia dijual pada harga RM28 bagi setiap dua kilogram.
Bagaimanapun, hasil semakan harga di Indonesia mendapati buah yang sama dijual sekitar RM2.80 hingga RM4.20 sekilogram.
Perbezaan harga ini pastinya menarik perhatian, lebih-lebih lagi apabila nama Harumanis Perlis digunakan dalam promosi sehingga berpotensi membuatkan pengguna menyangka mereka sedang membeli buah tempatan yang terkenal itu.
Satu lagi perkara yang boleh membantu pengguna membezakan kedua-dua jenis mangga ini ialah musim pengeluarannya.
Untuk makluman, Arum Manis dari Indonesia biasanya berada dalam musim pengeluaran antara Julai hingga November.
Sebaliknya, Harumanis Perlis lazimnya dituai sekitar Februari hingga Jun.
Perbezaan musim ini boleh dijadikan salah satu panduan ketika membeli mangga, terutama jika terdapat penjual yang mendakwa buah import sebagai Harumanis Perlis.
Namun, pengguna tetap disarankan menyemak maklumat varieti dan negara asal pada label produk sebelum membuat keputusan membeli.
Dalam perkembangan sama, FAMA turut menjalankan pemantauan terhadap penjualan buah-buahan di premis fizikal dan platform dalam talian bagi memastikan peniaga mematuhi Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL).
Sepanjang tahun ini, kira-kira 120 premis di seluruh negara telah diperiksa.
FAMA juga menggunakan pendekatan advokasi dan teguran awal kepada peniaga sebelum tindakan lanjut diambil sekiranya kesalahan sama terus berulang.
Sebagai pengguna, kita berhak mengetahui jenis buah yang dibeli, dari mana asalnya dan sama ada produk tersebut benar-benar seperti yang diiklankan.
Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan nama buah yang popular atau tawaran harga murah ketika membeli secara dalam talian. Pastikan maklumat produk diperiksa terlebih dahulu supaya tidak tersalah beli.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Buletin TV3
Baca juga: Jabatan Perikanan Sahkan Ikan Piranha Ditemui Di Pahang, Orang Ramai Diminta Jangan Panik
Resepi buttermilk pasta ini sesuai untuk penggemar hidangan pasta yang gemarkan tekstur berkrim tetapi pedas…
Jagung rebus memang antara makanan yang sedap dinikmati begitu sahaja, lebih-lebih lagi apabila isinya masih…
Nak buat donat sendiri di rumah tetapi tidak mahu bersusah payah menguli doh terlalu lama?…
Kalau anak-anak minta bawa sesuatu yang istimewa untuk jamuan sekolah, bolehlah cuba resepi loaded potato…
Buntu nak sediakan menu potluck untuk anak-anak? Apa kata cuba ayam BBQ crunchy, hidangan ayam…
Bagi penggemar coklat dan kekacang, biskut kacang coklat ala ‘ferrero’ ini memang menarik kerana setiap…