Laksa Kedah adalah salah satu hidangan tradisional yang terkenal di utara Malaysia. Kuahnya pekat kerana diperbuat daripada ikan tamban atau ikan kembung.
Laksa ini sering menjadi pilihan ramai, terutamanya ketika musim perayaan atau majlis keluarga.
Dalam artikel hari ini, kami akan kongsikan resipi laksa kedah autentik oleh Cik Puan Asmaliza AJ yang wajib anda cuba di rumah.
Baca lagi: Tak Nak Sardin Roll Terbuka Semasa Goreng, Guna Teknik Gulung Mudah Ini!
RESIPI LAKSA KEDAH
Bahan-bahan:
- 1 kg ikan tamban atau ikan temenung (kembung)
- 2 paket laksa (mi laksa)
- 20 ulas bawang merah*
- 10 ulas bawang putih*
- 2 kotak kecil belacan*
- 20 tangkai cili kering*
- 10 biji cili api*
- 20 keping asam keping
- Garam secukup rasa
- Serbuk perasa (aji) secukupnya
- 3 kuntum bunga kantan, dibelah dua
- 2 ikat daun kesum
Cara penyediaan:
1. Rendam mi laksa dalam air selama sekurang-kurangnya 2 jam. Rendaman ini bertujuan untuk melembutkan mi sebelum dimasak.
2. Setelah cukup direndam, rebus mi laksa selama 20 minit dengan air yang cukup untuk merendam mi (paras air setinggi mi dalam periuk).
3. Setelah 20 minit, tutup api dan biarkan mi laksa dalam air rebusan selama 1 jam lagi. Ini akan memastikan mi laksa benar-benar lembut dan kenyal. Kemudian, tapis dan toskan mi laksa tersebut.
4. Rebus ikan tamban atau temenung sehingga masak. Setelah itu, asingkan isi ikan dari tulangnya. Isi ikan ini kemudian diblend sehingga hancur dan halus. Proses ini penting untuk mendapatkan kuah yang pekat dan bertekstur lembut.
5. Setelah diblend, tapis kuah ikan untuk membuang sebarang tulang halus yang mungkin masih ada.
6. Sementara itu, kisar bahan-bahan * yang terdiri daripada bawang merah, bawang putih, belacan, cili kering, dan cili api sehingga halus.
7. Masukkan bahan kisar ini ke dalam periuk besar. Kemudian, tambahkan bunga kantan yang telah dibelah dua dan daun kesum untuk memberikan aroma yang wangi dan menyegarkan.
8. Masukkan isi ikan yang telah ditapis tadi ke dalam periuk bersama bahan kisar. Gaul rata.
9. Masukkan asam keping ke dalam kuah untuk memberikan rasa masam yang seimbang. Tambahkan garam dan serbuk perasa (aji) secukup rasa.
10. Biarkan kuah mendidih dan masak perlahan-lahan untuk membolehkan semua rasa meresap. Lebih lama kuah dimasak, lebih sedap rasanya.
11. Hidangkan mi laksa yang telah dimasak dalam mangkuk.
12. Untuk hiasan dan rasa tambahan, boleh ditambah dengan hirisan telur rebus, timun, atau daun salad jika suka.
Sumber: Asmaliza AJ
Baca lagi: Tips Sambal Telur Rebus Padu, Ada 1 Rahsia Untuk Sambal Jadi Cantik Kemerahan, Ini Caranya…