Bagi anda yang mungkin bercuti ke Johor atau lebih tepat di Pontian dan ingin merasai keistimewaan kopi yang cukup unik iaitu “Kopi Tenggek” — anda wajib mengunjungi Togez Cafe untuk menikmati rasa luar biasa minuman tersebut.
Namanya sahaja sudah cukup unik dan mencuit hati, jangan terkejut sekiranya kopi tenggek ini dicari oleh peminat minuman kopi dari seluruh negara datang ke Benut Pontian selepas kisah kopi ini viral di media sosial.
Togez Cafe sebuah gerai di kawasan pesisiran Sungai Pinggan Benut diusahakan oleh Ismail Abu Nawi, 46 tahun.
Artikel berkaitan: Korang Pecinta Kopi? Kajian Mengatakan Kopi Dapat Kurangkan Risiko Kematian
Minuman itu yang diberi nama kopi tenggek turut dipanggil sebagai kopi gantung kerana di atas cawan kopi terletaknya penapis.
Jelas Ismail, kaedah meletakkan penapis di atas cawan telah lama dilakukan oleh kedai-kedai kopitiam.
Ia dilakukan supaya rasa kopi sebenar dapat dinikmati tanpa bersama keladaknya.
Setiap hari kopi tenggek dijual antara 50 hingga 200 cawan dan jumlah itu meningkat pada cuti hujung minggu dan cuti am.
“Gerai mula dibuka pada jam 4 petang hingga 2 pagi. Ada pelbagai menu ditawarkan antaranya laksa penang, kacang pool, nasi goreng, mi sup dan mi rebus,” katanya.