Kek pound adalah antara kek klasik yang sering menjadi pilihan pencinta kek kerana teksturnya yang lembut dan rasanya yang sedap.
Walaupun serupa dengan kek mentega (butter cake), namun kek pound tradisional juga mengikut resipi asal dengan menggunakan sukatan bahan yang sama seperti tepung, gula, dan mentega.
Namun, resipi ini telah diolah sedikit dengan menambahkan 20 gram mentega bagi memberikan kelembapan tambahan, sesuai dengan keperluan tepung yang mungkin kurang kualiti di pasaran. Resipi ini juga menggunakan acuan loaf bersaiz 4 x 8 inci serta sukatan menggunakan cawan metric dan gram.
Jom mula buat!
Baca lagi: Resipi Biskut Ala Famous Amos, Ada Bahan Rahsia Untuk Wangikan Biskut!
RESIPI KEK POUND
Bahan-Bahan:
- 3 biji telur (saiz A)
- 3 sudu besar (40 gram) susu
- 1 ½ sudu teh esen vanila
- 1 ¼ cawan (150 gram) tepung kek
- 1 sudu teh (4 gram) serbuk penaik (baking powder)
- ¼ sudu teh (1 gram) garam
- ¾ cawan (150 gram) gula kastor
- ¾ cawan (170 gram) mentega lembut
Cara Penyediaan Kek Pound:
1. Dalam mangkuk besar, pukul mentega dan gula menggunakan mixer sehingga adunan menjadi kembang dan ringan. Proses ini penting untuk memastikan tekstur kek yang gebu.
2. Masukkan esen vanila ke dalam adunan. Kemudian, masukkan telur satu persatu sambil terus memukul sehingga sebati.
3. Dalam mangkuk lain, ayak tepung kek, serbuk penaik, dan garam.
4. Masukkan campuran tepung secara bertahap ke dalam adunan mentega sambil menambah susu sedikit demi sedikit. Gaul sehingga semua bahan sebati. Jangan terlebih pukul untuk mengelakkan kek menjadi keras.
5. Sediakan acuan loaf bersaiz 4 x 8 inci. Sapu sedikit mentega atau lapik dengan kertas pembakar untuk mengelakkan kek melekat.
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan ratakan permukaannya.
7. Panaskan ketuhar pada suhu 170°C.
8. Bakar kek selama 45-50 minit, atau sehingga permukaan kek berwarna keemasan dan masak sepenuhnya. Untuk memastikan kek masak, cucuk dengan lidi; jika lidi keluar bersih, kek sudah sedia.
Nota Tambahan:
- Pastikan semua bahan berada pada suhu bilik sebelum digunakan. Ini membantu adunan bercampur dengan lebih baik.
- Gunakan gula kastor untuk hasil yang lebih halus dan kek yang ringan.
- Biarkan kek sejuk sepenuhnya sebelum dipotong bagi memastikan tekstur kek kekal sempurna.
Selain itu untuk mencapai tekstur kek yang lagi sedap, anda boleh ikut beberapa tip tambahan di bawah:
1. Gunakan mentega tulen (pure butter): Mentega tulen memberikan rasa yang kaya dan tekstur lembut berkrim pada kek anda.
2. Pilih esen vanila berkualiti tinggi: Elakkan esen vanila murah yang berharga beberapa ringgit. Pilih jenama premium yang boleh didapati di kedai peralatan bakeri. Ini akan meningkatkan aroma dan rasa kek anda.
3. Gunakan sukatan yang tepat: Pastikan anda menggunakan cawan metric untuk mendapatkan hasil yang konsisten.
Sumber: Eny Yusnizar Abdullah
Baca lagi: Resipi Asam Rebus Siakap Padu, Syok Makan Sampai Lupa Orang Belakang