Tiba-tiba mak mentua minta buatkan hidangan minum petang yang sedap di rumah. Tak perlu fikir banyak kali, buat saja Jemput Jemput Ikan Bilis, mesti takkan tolak punya.
Jemput Jemput atau dikenali sebagai cucur atau cekodok merupakan sejenis kuih goreng yang dibuat daripada tepung, gula dan garam, kemudian digoreng dalam minyak yang penuh.
Pelbagai variasi yang ada sekarang, tapi paling sedap mestilah Jemput Jemput Ikan Bilis yang disukai ramai kerana rasa rangup dan masinnya kena dengan citarasa orang Malaysia.
Perkongsian hasil Jemput Jemput yang rangup di luar dan lembut di dalam oleh Fatien Zaini di Facebook telah membuatkan ramai teruja melihat caranya. Jom kita cuba!
Baca juga: Cucur Kembung Manis, Tak Nak Pakai Gula Boleh Ganti Bahan ‘Ini’ Di Rumah
RESIPI JEMPUT JEMPUT IKAN BILIS
Bahan-bahan:
- 3 cawan tepung gandum (cap ros)
- 3½ cawan air panas
- 1½ sudu kecil garam
- Lobak merah
- Bawang merah
- Daun bawang
- Cili merah
- Ikan bilis segenggam
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, potong bawang merah, daun bawang, lobak merah dan cili merah secara kecil.
2. Selepas itu, tumbuk ikan bilis secara halus.
3. Gaul tepung gandum bersama bahan yang telah dipotong bersama ikan bilis serta garam, kemudian kacau sebati.
4. Seterusnya, bentukkan lubang di bahagian tengah tepung dan tuang air panas sedikit demi sedikit sehingga bancuhan sebati.
5. Setelah itu, biarkan adunan sejuk dahulu selama beberapa minit.
6. Apabila adunan sudah sejuk, bolehlah goreng sehingga kekuningan, angkat dan toskan. Siap untuk dinikmati!
Sesetengah orang suka makan Jemput Jemput Ikan Bilis sewaktu minum petang, tapi ada juga yang seronok menikmatinya ketika sarapan bersama keluarga tersayang di rumah.
Senang cerita, kuih goreng yang sedap seperti ini sesuai dimakan pada bila-bila masa. Apabila teringin, anda hanya perlu guna resipi ini dan siapkannya dengan mudah.
Selamat mencuba!
Sumber: Fatien Zaini
Baca juga: Resepi Cekodok Guna 4 Bahan Tanpa Telur, Sejam Lebih Pun Tetap Rangup