Sesiapa yang suka hidangan gulai kunyit telur pasti akan tertarik dengan perkongsian ini yang akan membawa anda ke pengalaman sedap, nikmat dan lazat.
Biasanya, telur itik digunakan dalam penyediaan gulai. Namun, jika anda ingin menggunakan telur ayam, ia juga boleh dilakukan tanpa mengurangkan rasa yang kaya dan pekat.
Baca juga: Kuih Nekbat Cara Marbitter, Kuih Tradisi Pantai Timur Yang Popular Ketika Ramadan
Ingin tahu cara memasak yang enak? Mari kita ikuti perkongsian Encik Muliadi Ramli mengenai cara beliau memasak gulai kunyit telur itik seperti orang Pantai Timur.
RESIPI GULAI KUNYIT TELUR ITIK CARA PANTAI TIMUR
Bahan-bahan:
- 6 biji telur itik
- 2 helai daun kunyit – hiris nipis
- 2 batang serai – diketuk
- 300ml kotak santan
- 700ml air
- Garam, gula, dan serbuk perasa
- 1 sudu serbuk kunyit
- 2 tangkai cili besar merah dan hijau – untuk hiasan
Bahan-bahan kisar/tumbuk:
- 1 biji bawang besar
- 6 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci lengkuas
- 2 inci kunyit hidup
- 1 tangkai cili besar merah
- 6 tangkai cili padi/api – jika suka pedas, letak lebih
Cara-cara penyediaan:
1. Masukkan air, bahan yang telah dikisar/tumbuk, dan serai ke dalam periuk. Biarkan mendidih.
2. Gunakan senduk dan ambil sedikit kuah yang mendidih dalam senduk. Pecahkan telur ke dalam senduk dan masukkan ke dalam periuk yang sedang mendidih.
Lakukan cara ini selama 1 minit sebiji demi sebiji sehingga selesai. Tujuannya adalah untuk mengelak telur daripada pecah.
3. Selepas itu, masukkan santan ke dalam periuk. Kacau perlahan-lahan dan masukkan garam, gula, dan perasa mengikut citarasa.
4. Akhir sekali, masukkan daun kunyit dan cili besar ke dalam periuk. Biarkan mendidih sedikit sahaja sebelum menutup api.
5. Jangan biarkan santan mendidih terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan santan pecah dan minyak terpisah, menjadikan kuah tidak cantik dan kurang sedap.
6. Gulai ini hendaklah ada rasa masam dan pedas untuk hilangkan hanyir telur. Tutup api dan sediakan dalam pinggan lauk. Sedia untuk dihidang.
Tip Telur Cantik Tak Pecah Dalam Gulai
- Jika bimbang telur pecah bila dimasukkan terus – boleh juga pecahkan telur berasingan dan masak satu persatu. Kemudian barulah dimasukkan dalam gulai kunyit.
- Tip supaya telur tak pecah boleh gunakan sedikit cuka, caranya didihkan air panas, masukkan 4 sudu cuka.
- Bila mendidih pecahkan telur satu persatu. Biarkan masak. Cuka itu berfungsi supaya telur tak pecah. Telur akan jadi bulat atau bujur.
Sumber: Facebook Muliadi Ramli
Baca juga: Pulut Dakap Pisang Macam Orang Lama, Kuih Warisan Melayu Pantai Timur