Nak minum petang hari ini tapi tiada idea, tiba-tiba skrol media sosial ternampak gambar Cucur Tauhu, terus teringin nak cuba.
Selain dipanggil Cucur Tauhu, orang-orang lama juga menyebutnya cekodok tauhu atau jemput-jemput tauhu, tapi ada juga yang memanggilnya tauhu berlauk atau tauhu goreng.
Tak kisahlah sebutannya macam mana sekalipun, tapi kesedapan Cucur Tauhu ini memang tak disangkal lagi.
Sid Tartella telah kongsikan videonya membuat Cucur Tauhu yang nampak sangat menyelerakan di Facebook. Jom cuba!
Baca juga: Nak Resipi Cekodok Pisang Tanpa Gagal, Pakai Pisang Jenis ‘Ini’
RESIPI CUCUR TAUHU
Bahan-bahan penyediaan cucur:
- 10 keping tauhu (saiz kecil)
- 250gm ayam cincang
- 100gm tepung gandum
- 2 biji telur
- 4 sudu teh serbuk cukup rasa
- 100gm bawang merah (dicincang)
- 20gm bawang putih (dicincang halus)
- 2 batang cili merah (dipotong dadu)
- 20gm daun bawang
- 10gm daun sup
Bahan-bahan penyediaan sambal kicap:
- 20 batang cili padi merah
- 20 batang cili padi hijau
- 20gm bawang putih
- 2 sudu teh garam halus
- 200gm kicap manis
Cara-cara penyediaan cucur:
1. Mula-mula, lenyekkan tauhu secara kasar saja sebab nak gaul banyak kali nanti supaya tak terlebih hancur.
2. Masukkan ayam cincang, tepung gandum dan telur, kemudian kacau rata.
3. Apabila sudah rata, masukkan serbuk cukup rasa dan kacau lagi sehingga betul-betul merata.
4. Masukkan bawang merah, bawang putih, cili merah, daun sup dan daun bawang, kemudian kacau lagi sampai betul-betul rata.
5. Apabila adunan sudah hancur, boleh panaskan minyak masak dan mula menggoreng.
6. Kepal-kepalkan adunan atau nak pakai sudu pun boleh, ikut suka nak saiz kecil atau besar.
7. Masukkan dalam minyak masak yang sudah panas dan sentiasa pusing-pusingkan semasa menggoreng sehingga berubah warna kekuningan.
8. Akhir sekali, buat sambal kicap dengan mengisar cili padi merah, cili padi hijau, bawang putih, garam dan kicap manis. Siap untuk dihidang!
Cucur Tauhu enak dimakan ketika masih panas dan paling sedap dicicah dengan sambal kicap yang padu.
Selamat mencuba!
Sumber: Sid Tartella
Baca juga: Cekodok Ikan Bilis Rangup, Dah Sejuk Pun Sedapnya Tak Hilang