Ramai yang menyukai kuih goreng seperti popia, samosa, karipap dan sebagainya pada waktu petang. Jika ada lebihan roti, anda boleh buat Cucur Roti Gardenia dengannya.
Walaupun zaman dah semakin moden dengan pelbagai jenis kudapan viral, tapi penggemar kuih tradisional tetap menyukai cucur sampai bila-bila.
Cucur adalah sejenis kuih goreng yang dikenali juga sebagai jemput-jemput atau cekodok oleh sesetengah orang.
Terdapat pelbagai resipi yang berkaitan cucur seperti cucur udang, cucur ikan bilis, cucur badak dan banyak lagi.
Jika anda belum pernah makan Cucur Roti Gardenia, kami cadangkan anda cuba resipi yang dikongsikan oleh Asrinna Bakri di Facebook ini.
Baca juga: Nak Resipi Cekodok Pisang Tanpa Gagal, Pakai Pisang Jenis ‘Ini’
RESIPI CUCUR ROTI GARDENIA
Bahan-bahan:
- 5 keping roti
- ½ cawan air
- 1 biji telur
- 3 sudu tepung gandum
- ½ sudu kecil baking powder
- Crabstik atau sosej (dipotong kecil)
- Daun bawang
- Cili merah (didadu)
- Serbuk pati ayam
- Garam
Cara-cara:
1. Carik-carik roti dan masukkan air, kemudian biarkan 5 minit agar roti kembang.
2. Masukkan semua bahan-bahan lain dan gaul sebati, kemudian biarkan 10 minit.
3. Sementara itu, boleh panaskan minyak dan jemput-jemputkan adunan, kemudian goreng sehingga keemasan. Siap untuk dihidang!
Teksturnya yang rangup di luar dan lembut di dalam menjadikan Cucur Roti Gardenia ini sebagai snek kegemaran ramai.
Bukan saja anda boleh memakannya sewaktu sarapan, malah ia juga enak dijadikan sebagai minum petang.
Anda boleh mengolah resipi ini dengan menukar isi crabstik atau sosej kepada isi udang, ikan bilis, lobak merah, ubi kentang dan sebagainya.
Cucur Roti Gardenia ini enak dimakan bersama sos pencicah yang pedas manis. Jika ada kopi atau teh O lebih bertambah nikmatnya.
Manalah tahu ada roti Gardenia yang sudah hampir tarikh luput dan masih banyak, bolehlah guna resipi ini supaya tak membazir nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Asrinna Bakri
Baca juga: Resepi Karipap Sardin Guna Roti Gardenia, Kulit Dan Inti Cukup Rasa!