Cara masak nasi lemak cukup mudah dan tidak sukar jika tahu resipinya yang betul. Namun, kadangkala nasi akan terlalu keras atau terlalu lembik. Di mana silapnya ya?
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna Facebook, beliau ada kongsikan cara penyediaan nasi lemak yang sedap, wangi, masak sekata dan butir nasinya sebiji-sebiji.
Tunggu apa lagi, mari lihat resipi langkah demi langkah di bawah ini. Kalau dah pandai buat, boleh lawan mak cik yang jual dekat gerai tau!
Baca juga: Resipi Sambal Bilis Nasi Lemak Terpaling Mudah Tapi Sedap
CARA MASAK NASI LEMAK SEDAP
Bahan-bahan:
- Beras 3 cupak
- Halia tumbuk
- Daun pandan 5 helai gunting pendek-pendek
- Santan 1 kotak
- Garam
- Minyak masak
Cara membuat:
1. Sukat air mengikut paras beras. Sama seperti masak nasi putih.
2. Kalau tengok dalam gambar, beras lebih kurang 1 setengah ruas jari macam ini.
3. Bila dah dapat sukatan beras, alihkan beras ke dalam bekas/penapis lain. Kemudian, isikan air ke dalam periuk nasi mengikut paras beras yang tadi.
4. Boleh tengok gambar di bawah. Beras 1 setengah ruas jari, jadi sukatan air pun sama banyak itu juga.
5. Kemudian, masukkan santan satu kotak. Boleh pakai santan jenis apa pun. Guna kotak yang kecil saja sudah cukup rasa lemaknya.
6. Jangan bazirkan santan yang dalam kotak. Masukkan sedikit air dari periuk ke dalam kotak santan dan goncang-goncangkan. Tuangkan semula air ke dalam periuk. Pastikan kotak santan sudah dibasuh.
7. Seterusnya, masukkan halia yang sudah diketuk lebih kurang banyak macam ini.
8. Masukkan 5 helai daun pandan yang dipotong kecil begini.
9. Selepas itu, perasakan dengan garam.
10. Untuk sukatan nasi 3 cupak tadi, letakkan minyak masak lebih kurang 3 sudu besar. Fungsinya adalah untuk elakkan nasi lembik. Nanti hasilnya berderai elok sebiji-biji.
11. Beginilah rupanya nanti bila dah masukkan semua bahan tadi. Dah boleh letak di rice cooker dan tekan butang ‘cook’. Tapi jangan masukkan beras dulu.
12. Kita tunggu menggelegak dulu air santan dan daun pandan supaya nasi lemak akan jadi wangi.
13. Bila dah mula menggelegak, bolehlah masukkan beras yang dah dibasuh dan ditapis tadi.
14. Jangan sampai air santan menggelegak terlalu lama sebab nanti santan akan pecah. Tak cantik nasi nanti. Jadi kena selalu tengok-tengok periuk lepas tekan butang ‘cook’ ya.
15. Bila dah masukkan beras, sila kacau setiap 5 minit supaya semua nasi sekata dengan santannya. Ulang beberapa kali sehingga nasi masak.
Nasi lemak dah siap. Tak lengkap kalau tak ada sambal tumis bukan? Berikut merupakan cara membuat sambal tumis yang padu.
CARA BUAT SAMBAL TUMIS LAZAT
1. Mula-mula, kisarkan
- Bawang merah 1 biji
- Bawang putih 3 ulas
- Halia seinci
- Belacan separuh tapak tangan (digoreng garing dahulu)
- Ikan bilis segenggam (goreng dahulu)
2. Lepas kisar, tumiskan dengan minyak menggoreng ikan bilis tadi. Masa ini kalau ada yang suka bawang dalam sambal, boleh masukkan bawang yang dihiris dalam sambal. Ikan bilis pun boleh masuk sama.
Selepas bahan kisar dan nampak garing, masukkan pula cili kering (yang dah siap direbus dan kisar) dalam 6-7 senduk. Kacaukan sampai naik minyak. Guna api perlahan.
3. Bila dah naik minyak, perasakan dengan garam (suku sudu besar), gula (6-7 sudu besar), pes asam jawa (suku sudu besar), gula perang / gula melaka (2 sudu besar). Gula perang ni fungsinya nak bagi sambal tu berwarna cantik @ merah pekat.
4. Kalau nak terus makan, boleh tutup api bila sambal dah mendidih. Kalau nak buat niaga, masak perlahan selama 2 jam supaya sambal tahan lama.
Sambil masak sambal boleh rebus telur sekali dekat sebelah.
5. Sedia untuk menjamu selera. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Mars Amyleon
Baca juga: Resipi Ayam Goreng Berempah. Ini Tips Serdak Meriah, Bertali & Rangup Elok