Siapa masih ingat roti sardin goreng yang selalu dibeli dekat sekolah dulu? Jika rindu nak makan, jom kita cuba cara buat roti sardin goreng ini sendiri di rumah.
Dengan beberapa bahan yang mudah didapati, roti goreng ini garing di luar dan lembut di dalam. Rasa sardin yang sedap pasti akan membuat semua orang terliur!
Resipi ini bukan sahaja mudah dan sedap, tetapi juga tidak menyerap minyak. Sesuai untuk hidangan snek atau sarapan pagi.
Siapa sangka, hanya dengan beberapa langkah mudah, anda boleh membawa kembali nostalgia makanan sekolah ke meja makan anda. Jom kita cuba!
Baca juga: Resipi Roti Celup Telur Sardin, Anak-Anak Cakap Sedap Tak Tipu!
CARA BUAT ROTI SARDIN GULUNG RANGUP
Bahan untuk bancuhan salutan:
- 8 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu besar butter atau marjerin
- Secubit garam
- 2 titis pewarna kuning telur
- Air (secukupnya, untuk mendapatkan kepekatan yang sesuai)
- 1 biji telur
Bahan inti sardin:
- 4 biji bawang putih, ditumbuk halus
- 1 biji bawang India, dicincang halus
- 3 biji cili kampung, dihiris
- 1 tin sardin (goreng dahulu dan asingkan kuahnya)
- Sedikit garam dan gula
- Secukup rasa
- Kicap (optional)
Cara-cara buat inti:
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali, kemudian goreng sardin terlebih dahulu. Setelah sardin masak, asingkan ikan dan simpan kuahnya.
- Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih, bawang India dan cili kampung yang telah dihiris hingga wangi dan sedikit kekuningan.
- Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian, masukkan kuah sardin yang telah diasingkan tadi. Biarkan ia mendidih seketika dan sedikit mengering.
- Jika kuah terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit air. Setelah itu, masukkan sardin yang telah digoreng tadi dan kacau sebati. Biarkan masak selama beberapa minit dan angkat.
Cara buat bancuhan salutan roti:
- Dalam sebuah mangkuk, campurkan tepung jagung, butter (atau marjerin), garam dan pewarna kuning telur.
- Masukkan telur dan sedikit air, kacau hingga adunan menjadi pekat tetapi boleh dicelup. Jangan terlalu cair.
- Ambil sekeping roti, sapu dengan inti sardin yang telah disediakan dan gulung roti tersebut dengan kemas.
- Belah roti yang telah digulung menjadi dua bahagian.
- Panaskan minyak dalam kuali.
- Celupkan setiap bahagian roti yang telah digulung dan dibelah ke dalam bancuhan hingga rata.
- Goreng roti yang telah dicelup tepung hingga keemasan dan rangup.
- Angkat roti yang sudah digoreng dan toskan minyak. Hidangkan roti mini sardin yang rangup dan enak!
Kredit: Lynda Nora
Baca juga: Resipi Mian Bao Xia, Roti Goreng Inti Udang Yang Rangup Di Luar & Lembut Di Dalam