Dalam banyak-banyak jenis kuih, semestinya kuih lapis menjadi pilihan hati. Baru-baru ini, kami terjumpa cara buat Kuih Lapis Pelangi yang sungguh cantik kejadiannya.
Kuih Lapis terkenal sebagai kuih tradisional yang berlapis. Secara aslinya, ia berwarna merah jambu dan putih serta sering disajikan sewaktu kenduri terutamanya di kampung.
Seiring dengan zaman moden, ramai yang mengolah Kuih Lapis ini dan jadikannya dengan pelbagai bentuk menarik serta warna-warni seperti Kuih Lapis Pelangi.
Kami tertarik dengan perkongsian cara buat Kuih Lapis Pelangi oleh Jue Baha Cookies di Facebook kerana hasilnya sangat cantik dan begitu terang warnanya. Jom kita cuba!
Baca juga: Kreatifnya Resepi Kuih Lopes Batik Ini, Cantik Dan Sedap Seperti Yang Asli!
CARA BUAT KUIH LAPIS PELANGI
Bahan-bahan:
- 200gm tepung beras
- 50gm tepung ubi
- 250gm tepung gandum
- 250gm gula
- 500gm santan
- 1000g air
- 1 sudu kecil garam
- Pewarna dari My Flavour
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, kacau tepung beras, tepung ubi, tepung gandum, gula, santan, air dan garam sampai sebati.
2. Selepas itu, tapis untuk dapat adunan yang tak berketul.
3. Kemudian, bahagikan adunan kepada 7 adunan dan letakkan pewarna yang disukai.
4. Seterusnya, masukkan adunan pertama ke dalam loyang (saya guna saiz 10×10 inci) dan kukus selama 10 minit (saya guna pengukus trio elektrik).
5. Bagi lapisan kedua sehingga keenam, kukus selama 7 minit untuk setiap lapisan.
6. Bagi lapisan terakhir, kukus selama 20 minit. Setelah sejuk, boleh dipotong. Siap untuk dinikmati!
Sebelum ini, ramai yang gunakan cara buat Kuih Lapis Pelangi dengan sukatan cawan. Jika guna resipi dalam bentuk gram ini, anda akan dapat hasil cantik yang konsisten.
Jangan lupa untuk kongsikan cara ini kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang suka buat kuih di rumah. Inilah masanya untuk tunjukkan kemahiran anda dalam membuat kuih.
Selamat mencuba!
Sumber: Jue Baha Cookies
Baca juga: Kuih Lapis Pelangi Warna Warni, Sesuai Buat Hidangan Minum Petang Satu Keluarga