Kejadian dapur jenis kaca (tempered glass) pecai berderai bukan sesuatu yang baru berlaku. Kemalangan kecil ini sering kita baca di media sosial seperti yang telah dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook di bawah.
Sedikit sebanyak perkara itu menimbulkan rasa gerun dan takut dalam kalangan mereka yang mempunyai dapur jenis ini mahupun buat mereka yang mahu membelinya.
Tidak dinafikan, dapur kaca ini mampu membuatkan dapur anda kelihatan lebih elegan dan moden. Namun hakikatnya, yang cantik tidak semestinya tahan lasak. Lebih-lebih lagi jika tidak dikendalikan dengan betul.
Seorang wanita berkongsikan tips dalam menggunakan dapur kaca jenis tempered glass ini untuk menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Jom sama-sama baca perkongsian oleh Dr. Fatimah Salim di bawah.
Tips Untuk Elak Dapur Kaca Pecah Berderai
Terdapat banyak jenis bahan binaan (aka material) yang digunakan untuk membuat dapur memasak seperti kaca, kaca berplumbum (lead glass), seramik dan borosilikat.
Disebabkan banyak kemalangan sewaktu memasak yang berlaku, di sini kita hanya akan bincangkan dapur kaca tempered (tempered glass). Ambil tahu cara pengendalian bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini seperti letupan dan kebakaran. Tambah lagi jika kejadian berlaku sewaktu ada anak kecil bersama.
Dapur kaca tempered digunakan mengantikan dapur borosilikat kerana ianya lebih cantik disamping lebih tahan haba, tidak bertindakbalas (inert), tidak mengalirkan elektrik juga kalis air dan gas.
Namun, ianya mudah pecah jika tidak dijaga dengan baik dan betul. Tips dalam menggunakan dapur kaca tempered ialah:
- Jangan tutup permukaan kaca -setengah dari kita sayangkan dapur, takut tumpahan minyak atau kotoran pada permukaan. Namun dengan menutup dapur, haba akan terperangkap lalu membuatnya mudah retak.
- Jangan guna kuali dan periuk yang terlalu besar- penggunaan periuk dan kuali yang besar terutamanya yang diperbuat daripada logam akan memerangkap haba lalu memindahkannya kepada dapur. Ini boleh menyebabkan dapur ini mudah retak.
- Jangan letak kuali atau periuk di atas permukaan kaca kerana beban yang berat.
- Maksimumkan penggunaan secara berterusan selama 2 jam sahaja. Ini kerana, penggunaan yang lama akan meningkatkan pengumpulan haba.
- Jangan sesekali mengelap atau membersihkan dengan kain basah tunggu sehingga dapur sejuk supaya tidak berlaku “kejutan “ atas perubahan suhu yang drastik. Lalu menyebabkannya retak.
Kredit: Dr. Fatimah Salim, Suriani Yusuf