Bihun goreng kicap simple ini mungkin nampak biasa kerana hanya menggunakan beberapa bahan asas, tetapi rasanya mengingatkan kepada masakan orang lama yang ringkas dan mengenyangkan. Tak perlu banyak lauk atau bahan mahal, cukup dengan bihun, bawang dan kicap.
Resipi ini dikongsikan oleh Syahadah Mohd Husin di Facebook, yang berkongsi kisah ibunya dahulu memasak bihun dalam keadaan serba sederhana. Walaupun tiada lauk atau sayur kerana anak-anak tidak makan sayur, bihun yang dimasak tetap menjadi hidangan kegemaran sehingga anak-anak berebut untuk menikmatinya.
Baca juga: Bihun Goreng Tomyam Simple, Pedas Kaw & Wangi Sampai Licin Satu Kuali!
BIHUN GORENG KICAP SIMPLE CARA ORANG LAMA

Keistimewaan resipi ini terletak pada kesederhanaannya. Bawang merah dan bawang putih ditumbuk sebelum ditumis sehingga wangi, kemudian dicampurkan dengan air, kicap manis dan beberapa bahan perasa.
Bihun yang telah direndam pula dimasukkan dan digaul sehingga sebati. Hasilnya ialah bihun yang berwarna perang, beraroma dan sesuai dinikmati panas-panas.
Bahan-Bahan:
- Bihun secukupnya
- 2 ulas bawang merah
- 1 ulas bawang putih
- Air secukupnya
- Kicap manis secukupnya
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa, jika suka
- Minyak untuk menumis
Cara-Cara Penyediaan:
1. Rendam bihun
Rendam bihun dengan air panas sekejap sehingga lembut. Kemudian, toskan dan ketepikan.
2. Tumbuk bawang
Tumbuk bawang merah bersama bawang putih sehingga lumat.
3. Tumis bahan tumbuk
Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan bahan tumbuk dan tumis sehingga naik bau.
4. Masukkan air dan kicap
Tuangkan air secukupnya ke dalam kuali, kemudian masukkan kicap manis mengikut citarasa.
5. Perasakan
Masukkan garam, sedikit gula dan serbuk perasa jika digunakan. Kacau sehingga sebati.
6. Masukkan bihun
Masukkan bihun yang telah ditoskan. Gaul rata sehingga bihun bersalut dengan kuah kicap dan menyerap semua perasa.
7. Siap untuk dihidangkan
Masak sehingga bihun sebati dan cukup rasa. Tutup api dan hidangkan ketika masih panas.
Resipi seperti ini membuktikan bahawa hidangan yang sederhana tidak semestinya kurang sedap. Dengan bahan asas yang mudah didapati di dapur, bihun goreng kicap ini sudah cukup untuk menjadi sarapan atau hidangan ringkas seisi keluarga.
Selamat mencuba!
Sumber: Syahadah Mohd Husin
Baca juga: Bihun Goreng Putih Simple, Tak Banyak Bahan Tapi Rasanya Sedap Dengan Cili Kicap
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

