Sesiapa yang suka makan pencuci mulut seperti kuih-muih atau kek pasti tertarik untuk cuba membuat Apam Susu Pandan yang lazat ini.
Apam secara umumnya merujuk kepada makanan yang gebu dan dihasilkan daripada adunan yang dibuat dengan menggunakan tepung gandum atau tepung beras.
Cara membuat apam ini boleh dilakukan secara bakar atau kukus. Tapi nak buat Apam Susu Pandan, lebih bagus jika gunakan cara kukus supaya hasilnya menjadi lembut.
Oleh kerana masih ramai yang belum berjaya membuatnya dengan sempurna, Kak Long Azzu Riana telah kongsikan resipi Apam Susu Pandan yang sangat menarik. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuih Apam Mekar Anti Gagal, Ini Rahsia Jadikan Hasil Kembang Cantik!
RESIPI APAM SUSU PANDAN
Bahan-bahan:
- 4 biji telur gred A
- ½ cawan gula (jika nak manis, boleh tambah gula)
- 1 sudu besar ovalette
- 1 penutup esen vanilla
- ½ cawan susu pekat
- 6 sudu besar santan pekat
- Sedikit air daun pandan yang dikisar
- 2 cawan tepung gandum
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, mixer semua bahan sampai betul-betul sebati.
2. Setelah sebati, masukkan tepung gandum dan mixer sampai sebati lagi.
3. Seterusnya, sapu sedikit planta pada acuan agar tak melekat. Kukus dalam 25 hingga 30 minit, kemudian boleh potong setelah sejuk. Siap untuk dinikmati!
Perkara yang membuatkan ramai tertarik untuk cuba resipi Apam Susu Pandan ini adalah bukan saja cara memasaknya yang mudah, malah hasilnya lebih lembut dan gebu.
Walaupun rupanya kelihatan seperti kek, namun rasanya agak berbeza apabila dimakan kerana ia menggunakan bahan seperti santan di dalam adunan.
Tak payah fikir panjang untuk sediakan sarapan atau minum petang yang sedap di rumah, buat saja Apam Susu Pandan ini dan pastinya ia memikat selera anda sekeluarga.
Hasilnya yang cantik memang terasa sayang nak makan, tapi kesedapan menikmatinya bersama kopi atau teh O memang tak disangkal lagi.
Selamat mencuba!
Sumber: Kak Long Azzu Riana
Baca juga: Apam Coklat Kukus, Guna 3 Langkah Saja Tapi Hasil Gebu Luar Biasa!