35 port makan

Rupa-rupanya ada lebih 35 port makan best di Kuala Terengganu yang anda boleh cuba. Negeri ini tidak hanya kaya dengan budaya, tetapi juga dikenali dengan pelbagai jenis hidangan yang unik.

Dari keropok lekor, nasi dagang, ikan singgang, laksam, sata, dan lain-lain, kepelbagaian makanan asli ini membuat Terengganu berbeza daripada negeri-negeri lain.

Terdapat banyak hidangan tradisional yang tetap kekal relevan seiring berlalunya waktu, dengan kelazatannya mampu menyentuh hati sesiapa yang mencubanya.

Baca juga: “Lain Macam Potong Piza Guna Parang”- Tempat Makan Viral Baru Di Melaka!

Walaupun makanan tradisional menjadi tarikan utama, pelbagai hidangan dari masakan barat, Thailand, dan lain-lain juga mudah dijumpai di negeri ini.

Tidak yakin? Sila kunjungi ibu negerinya, Kuala Terengganu, untuk pengalaman sejati merantau dan mencuba pelbagai hidangan di negeri ini. 

Dalam artikel kali ini, MyResipi senaraikan 35 port makan menarik di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya yang wajib anda singgah semasa berada di sini nanti.

35 PORT MAKAN BEST KUALA TERENGGANU (2024)

1. Warung Pok Nong (Ikan Celup Tepung-ICT)

35 port makan

Warung Pok Nong adalah destinasi wajib bagi pencinta makanan laut di Terengganu. Ia menyajikan hidangan laut yang segar dalam lapisan tepung yang garing dan sos yang sedap.

Bukan itu sahaja, warung ini juga menawarkan pelbagai pilihan minuman menyegarkan seperti ais jagung, air kelapa muda, dan ais kacang. Ke semua ini boleh dinikmati sambil menikmati pemandangan indah pantai. 

Alamat: Jalan Pantai, A1693, T145, Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (3.00pm – 7.30pm) | Selasa (Tutup)

2. Yogulp Cafe

35 port makan

Teringin nak makan aiskrim? Boleh singgah untuk mencuba frozen yoghurt di kafe ini. Terdapat tiga cawangan bagi jenama tempatan ini.

Pelbagai pilihan topping seperti buah-buahan, popcorn, biskut, dan lain-lain boleh dipilih dan disesuaikan dengan pelbagai jenis sos seperti coklat, strawberry, dan sebagainya. Alternatif lain yang menarik adalah mencuba resipi khas mereka, terutamanya yang popular ialah lotus biscoff.

Alamat Cawangan:

  • Gong Datok (Berhampiran Unisza), LOT 7003-B, Jalan Mengabang Telipod Kg, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu
  • Tok Lam (Berhadapan dataran Shahbandar)
  • Hiliran (Foodcourt sebelah Giant KT)

Waktu Operasi: 11am-10pm | Jumaat (3.00pm-10.00pm)

3. Nasi Dagang Atas Tol

Nasi dagangnya yang berlemak dihidangkan bersama dengan gulai ikan tongkol yang agak manis berserta cili yang pedas. Gabungan yang sukar untuk ditepis sebaik terhidu aromanya.

Pekena pula dengan teh beng madu (teh ais) ataupun teh yang diberikan nama specialnya Teh Beng Ombak Rindu, dengan buih yang mencurah-curah seperti lava, bertambah naik selera.

Alamat: No. 1318, T101, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin & Selasa (6.30 am – 11.30 am) | Isnin , Selasa (Tutup)

4. Restoran Mat Binjai

Restoran Mat Binjai - Gambar Makanan

Menonjolkan konsep nasi padang dengan hidangan masakan tradisional Terengganu, anda berpeluang memilih untuk menikmati nasi putih bersama pelbagai lauk-pauk seperti ikan gulai lemak, ikan keli sambal, dan hidangan-hidangan lain yang beraneka. Selain itu, hidangan pelengkap seperti budu, sambal belacan, dan ulam-ulaman juga turut disajikan.

Alamat: 20000, 71, Jalan Sultan Sulaiman, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.00 am ­– 6.00 pm) | Jumaat (Tutup)

5. Restoran Lempeng Rusila

Restoran Lempeng Terengganu - Gambar Makanan

Penggemar lempeng kampung mesti suka jika singgah ke sini. Lempeng ataupun pancake yang dihasilkan di restoran ini sungguh enak berlemak, memang tak cukup sekeping!

Walaupun diberi nama “Restoran Lempeng,” menu yang disajikan di tempat makan ini sebenarnya lebih pelbagai daripada yang dijangka. Anda juga disarankan untuk mencuba hidangan terhangat lain yang terdapat di sini seperti nasi dagang, ketupat sotong, rojok kateh, dan nasi minyak.

Selain itu, Restoran Lempeng Rusila juga menawarkan tuak ais krim, yang pastinya halal untuk dinikmati. Ini adalah pilihan yang jarang ditemui, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya. Anda juga dapat memuaskan dahaga anda dengan menikmati air kelapa segar.

Alamat: 11, Jalan Mawar 3, 21080 Kuala Terengganu
Waktu Operasi: 9.00am – 7.00pm | Selasa (Tutup)

6. KBB Burger & Steak Terengganu

KBB burger and steak - Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Restoran ini terkenal dengan gaya dan rekabentuk kedai yang eksklusif, dan maskulin. Dengan suasana yang amat selesa dan bergaya, KBB Burger & Steak telah menjadi tempat pilihan bagi penduduk tempatan untuk berkumpul dan menikmati hidangan barat yang istimewa.

Menu restoran ini berfokus pada daging lembu, menawarkan pelbagai potongan dan masakan daging lembu yang berbeza. Daging wagyu yang lazat sangat popular di sini.

Antara hidangan yang perlu dicuba termasuk rusuk lembu, burger lembu, dan yang paling istimewa, Butter-aged Tomahawk. Walaupun harganya mungkin agak tinggi, namun butter aged tomahawk adalah pilihan yang sangat sesuai untuk menyambut acara istimewa anda. Ia benar-benar berbaloi.

Alamat: LOT 4063, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (12.30pm-11.00pm) | Jumaat (3.00pm-11pm)

7. Suerasa Nasi Kerabu

Suerasa Nasi Kerabu - Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Nasi kerabu di sini sangat best kerana anda diberi pilihan lauk sampingan yang berbagai. Boleh pilih nasi kerabu ayam bakar, daging bakar, ayam goreng, kambing bakar, nak campur-campur pon boleh.

Di sini juga mereka menyediakan nasi minyak dengan pilihan ayam gulai atau ayam goreng. Nak makan masakan panas dan goreng-goreng pon ada. Datanglah beramai-ramai ke Suerasa Nasi Kerabu.

Alamat: Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: 6.30am – 1.00pm | Rabu (Tutup)

8. KD Fried Chicken

Kd Fried Chicken - Gambar Makanan

Yang popular di sini tentunya ayam goreng mereka yang cukup rangup kecemasan, boleh lawan KFC lah orang kata. Selain itu, ramai juga yang gemarkan cheezy crispy burger mereka yang merupakan burger dengan Ayam crispy sebagai pattinya.

Bagi kanak-kanak, mereka tentu sukakan crispy chicken tenders. Anda juga boleh mencuba Chicken Mayo Wrap mereka yang sangat memuaskan. Nak rasa sendiri Fried Chicken istimewa Terengganu? Mari ke KDFC!

Alamat: 58, Kampung Duyung Seberang Takir, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Isnin-Ahad 11.00am-10.30pm | Jumaat (Tutup)

9. Dynar Lekor Buluh Gading

Dynar Lekor Buluh Gading - Gambar Makanan

Bagi penggemar keropok lekor, ini adalah lokasi di mana anda boleh menemui pelbagai jenis keropok lekor. Pengusahanya cukup inovatif! Bagi yang suka rasa lemak keju yang mengiurkan, di sinilah anda boleh mendapatkan keropok lekor cheese.

Jenis keropok lekor lain yang ada adalah seperti black pepper poppers, onion cheese poppers, mozzaball dan lain-lain lagi.

Keropok lekor yang dihasilkan di sini juga sungguh rangup, dengan isi yang tebal, dinikmati bersama dengan sos cili Terengganu yang manis-manis pedas, siapa pun boleh jatuh cinta walau dengan hanya sekali suapan.

Alamat: Lot 8292 Seberang Takir Darul Iman, Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 6.00 pm) | Jumaat (Tutup)

10. Kak Pah Nasi Dagang

Nasi dagang Kak Pah Batu Burok Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Pernah menerima kunjungan daripada program TV3, Jalan-Jalan Cari Makan, nasi dagang di kedai ini terlampau hangat di pasaran sampaikan tak sampai 3 jam boleh licin semuanya. Tak nak terlepas peluang merasa? Datanglah seawal yang mungkin ya?

Selain nasi dagang, kedai makan ini turut menawarkan menu lain iaitu nasi kuning ikan tongkol, nasi kunyit dan nasi lemak.

Alamat: Jalan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 12.30pm) | Isnin (Tutup)

11. Zie’s Corner

Zie’s Corner - Gambar Makanan

Antara hidangan yang patut dicuba adalah chicken chop, kambing bakar, nasi lemak Terengganu, meatball, chicken parmigiana dan banyak lagi. Untuk minumannya pula, anda boleh mencuba strawberi shake atau vanilla float.

Sementara anda sibuk memuaskan lidah dengan rasa sajian di Zie’s Corner, anak-anak pula boleh bermain di taman permainan yang berdekatan sahaja dengan kedai makan ini.

Alamat: No. 1, Waterfront Pulau Kambing, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 12.00 am) | Selasa (Tutup)

12. Air Buah Gelas Besar Terengganu

Air Buah Gelas Besar Terengganu - Gambar Makanan

Dengan tawaran pelbagai jenis buah, anda boleh memilih untuk menggabungkan buah ini dengan buah yang lain mengikut selera. Antara gabungan yang menarik untuk dicuba adalah air buah oren + epal, buah belimbing + nanas dan anggur + kurma.

Caj yang dikenakan untuk air buah di sini adalah bergantung kepada saiz gelas iaitu sama ada kecil, sederhana ataupun besar. Kalau anda order saiz gelas yang besar, besarnya bukan biasa-biasa, boleh kenyang hanya dengan melihat saiz gelasnya.

Kedai ini turut menyediakan menu lain seperti nasi minyak, nasi dagang, roti canai, keropok lekor dan sebagainya. Jangan terkejut, sate pun ada tau!

Alamat: Jalan Tengku Ampuan Bariah, Taman Samudera, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00pm – 1.00am)

13. Kedai Kuih Gong Kapas

35 port makan

Kek lapis, nona manis, kuih gulung, apam dan macam-macam lagi, semuanya ada di sini. Melihatkan betapa banyaknya pilihan yang ada, kemungkinan besar anda perlu datang 5 ke 6 kali untuk mencuba semua pilihan yang ada.

Alamat: Jalan Panji Alam, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00pm – 7.00pm) | Jumaat (2.30pm – 7.00pm)

14. NR Café

35 port makan

Antara hidangan yang disediakan di sini adalah masakan-masakan bergaya western, Thailand, menu yang berasaskan herba dan banyak lagi. Sambil menikmati hidangan, bolehlah anda mencuci mata melihat keindahan dekorasi berkonsep rimbanya yang mendatangkan ketenangan jiwa.

Macam-macam menu yang rasanya sungguh menakjubkan untuk dicuba, contohnya adalah tom yam kelapa mudanya yang disajikan di dalam kelapa (aromanya boleh menggugat jiwa), ikan bakar berempah, ketam bakar, sup belut herba, sotong bakar berempah, chicken chop dengan kuah yang menyelerakan dan banyak lagi.

Air yang patut ditempah pula adalah air coconut shake. Kalau anda nak tahu, ada pelanggan yang mengatakan coconut shake yang ditawarkan di kedai ini semacam sedapnya.

Alamat: Lot 24354, Jalan Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Cawangan Lain: Pantai Pangkalan Maras, Kuala Terengganu & NR D’Nyatuh di Setiu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (3.00pm – 11.00pm) | Isnin (9.00am-5.00pm)

15. Restoran Plan A

35 port makan

Antara hidangan yang ada adalah seperti tom yam, wanton sup, aneka masakan barat dan lain-lain lagi. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan.

Sambil menunggu juadah tiba di meja, anda boleh melayari internet dengan menggunakan kemudahan wifi percuma yang disediakan.

Alamat: 47, 49 & 51, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 1.00 am)

16. Mok Ngoh Nasi Dagang

Nasi Dagang Mak Ngah -Gambar Makanan

Mok Ngoh Nasi Dagang adalah kedai makan yang tak kurang menariknya di Kuala Terengganu ini bagi sesiapa yang ingin mencuba nasi dagang yang asli rasanya.

Kalau tak sempat merasa nasi dagangnya, hidangan lain yang tak kurang menarik untuk dicuba adalah mihun goreng, keropok lekor dan kuih ondeh-ondeh.

Alamat: C-140, Jalan Sk Chendering, Kampung Bukit, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 3.00 pm) | Isnin (Tutup)

17. Singgang Budu

Singgang Budu - Gambar Makanan

Bermacam jenis lauk-pauk yang boleh dipilih untuk dimakan bersama dengan nasi putih, antaranya adalah ayam kampung goreng, ikan singgang, ikan panggang, ikan goreng, lidah lembu goreng dan sebagainya.

Selain itu, kedai Singgang Budu turut memiliki menu ayam gepuk (ayam yang diperap dengan rempah) dan laksa singgang.

Alamat: Jalan Engku Sar, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

18. Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar

Kedai Makan Kak Yah Ikan Bakar - Gambar Makanan

Yang anda mesti cuba adalah ikan bakar cencaru yang dimasak dengan sempurna bersama dengan sambal yang pekat.

Hidangan lain yang tak kurang sedapnya adalah sup daging, lauk ikan keli, ayam goreng dan macam-macam lagi.

Kalau nak cuba semua yang sedap-sedap di kedai ni, disarankan untuk datang sebelum jam 2 petang supaya tak kecewa melihat banyak lauk dah mula licin.

Alamat: 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30pm – 3.30pm) | Jumaat (Tutup)

19. Fauzi Nasi Kerabu

Fauzi Nasi Kerabu - Gambar Makanan

Port makan nasi kerabu terbaik yang ada di Terengganu ni adalah Fauzi Nasi Kerabu yang terletak di Kampung Kolam.

Daging bakar, daging kambing bakar dan ayam bakar yang dijadikan lauk untuk nasi kerabu ini dikatakan sangat empuk, diperap sempurna, sedapnya boleh terbawa ke mimpi. Sambalnya juga cukup enak.

Selain nasi kerabu, mereka turut menawarkan hidangan lain seperti nasi minyak dan nasi lemak yang boleh dimakan bersama dengan lauk seperti nasi kerabu tadi. Jangan lupa untuk cuba sekali Teh Beng Jabok, rasanya mantap!

Alamat: Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Kolam, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (6.30am – 1.00pm) | Rabu (Tutup)

20. Oliva Café

Oliva Café Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Antara hidangan yang enak untuk dimakan di saat perut kelaparan adalah beef burger, fish and chips, crab spaghetti, steak, pasta, chicken parmagiana dan sebagainya.

Anda juga tak patut melepaskan peluang untuk merasa kambing bakarnya yang dibakar sehingga 6 jam untuk mendapatkan hasil yang superb, crunchy di luar dan juicy di dalam. Dihidangkan pula dengan sos istimewa, sekali rasa, terus jatuh cinta.

Alamat: 1102-d, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Ladang Padang Cicar, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (4.00pm – 11.00am) | Isnin (Tutup)

21. Hot Hot Roti Canai

Kedai Roti Canai Hot-Hot Terengganu Gambar Makanan

Kedai yang diberi nama Hot Hot Roti Canai ini adalah salah satu kedai makan yang terkenal di Terengganu dek kerana hidangan pelbagai jenis masakan Indianya yang sedap-sedap belaka. Memang asli rasa hidangannya! Kuah kari dan kuah dhal yang disediakan juga sangat sedap.

Selain roti canai, masakan lain yang tak kurang sedapnya adalah mee kari, murtabak kambung, tosei, cappati, mee goreng mamak dan banyak lagi. Karipapnya juga adalah salah satu menu signature yang mesti dicuba. Yang penting, harganya tidak membuat anda masam mencuka, sangat berpatutan.

Alamat: Jalan Tengku Ampuan Bariah, Kampung Teluk Ketapang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (7.00 am – 11.00 pm) | Rabu (Tutup)

22. Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan

Seafood Kuala Ibai Bawah Jambatan - Gambar Restoran

Kedai makan yang sememangnya terletak di bawah jambatan Kuala Ibai Terengganu ini adalah salah satu lokasi yang boleh dikatakan menarik untuk dilawati bukan sekadar untuk mencuba masakannya tapi juga kerana suasananya.

Bermacam jenis pilihan masakan seafood ada di sini, antaranya adalah ikan, kerang, ketam dan sotong, sungguh enak untuk dimasak celup tepung.

Alamat: Bawah jambatan (Kuala Ibai), 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.30pm – 12.00am) | Selasa (9.00am-5.00pm)

23. Qawa Coffee & Sandwich

QAWA Coffee & Sandwich - Gambar Makanan

Port kafe berkonsep hipster ini terletak di dalam binaan kontena yang bercat merah. Kalau lepak waktu malam di sini, dapatlah anda melihat lampu fairy lights dinyalakan yang menaikkan lagi seri kafe ini, vibenya dapat mencuri hati sesiapa sahaja.

Apa menu yang ada? Untuk pengetahuan anda, bukan sedikit pilihan yang ditawarkan, memang banyak! Kopinya sahaja sudah mencecah lebih daripada 60 jenis.

Selain kopi yang dibuat dengan kaw-kaw, mereka turut menawarkan dessert dan makanan mengenyangkan yang lain seperti aneka kek dan sandwich. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba New York cheesecakenya, sedap!

Alamat: 1482, Jln Budiman, Kampung Mengabang Tengah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (2.30pm-12.00am) | Tutup Sementara Solat Maghrib (7.00 pm – 8.00 pm)

24. Rahsia Kitchen

Rahsia Kitchen KT - Gambar Makanan

Apa yang sedap untuk dicuba? Ada banyak hidangan barat yang menjadi kegemaran ramai, antaranya adalah chicken grill, sirloin steak, butter chicken dan banyak lagi. Rahsia Kitchen adalah sebuah restoran yang cukup selesa untuk dijadikan lokasi bersantapan bersama keluarga.

Alamat: 1436, Jln Budiman, Kampung Mengabang Tengah, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (5.00 pm – 11.00 pm) | Jumaat (Tutup) | Tutup Sementara Solat Maghrib (7.00pm – 8.00pm)

25. Warung Aziz Satar 2 Teluk Mak Nik

35 port makan

Kalau anda nak tahu, hidangan utama mereka iaitu satar dan otak-otak memiliki tekstur yang sungguh empuk dengan rasa manis yang sangat memuaskan deria rasa.

Selain ini, mereka turut menawarkan menu lain seperti ikan celup tepung, keropok lekor dan udang masak tepung yang rangup.

Lokasinya, terletak berdekatan dengan Pantai Teluk Manik. Bolehlah anda singgah beli makanan di sini sebelum berkelah di pantai.

Alamat: Simpang Pantai Mak Nik, Jalan Geliga Pantai 1, Geliga, 24000 Chukai, Terengganu 
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am – 7.30 pm)
Jarak Dari Kuala Terengganu: 2 Jam | 176 KM

26. Star Anise Café

Star Anise Café - Gambar Makanan

Bagi mengembalikan tenaga badan, anda boleh mencuba pelbagai jenis kopi yang terdapat di sini seperti mocha, latte, espresso, americano, hot chocolate dan lain-lain lagi.

Lattenya lengkap dengan latte art yang kreatif, wajib anda singgah kalau nak upload foto baru dalam Insta tu. Selain kopi yang sedap, Star Anise Café turut menawarkan pelbagai pilihan kek dan pastries.

Alamat: 82, Jalan Kampung Cina, Kampung Banggul, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (3.00 pm – 10.00 pm) | Jumaat (Tutup)

27. Gossip Kitchen

35 port makan

Antara sajian yang mendapat pujian ramai di sini adalah seafood carbonara, grilled Australian lamb cutlet, nasi goreng paprik seafood dan baked cheese bolognese. Saiz hidangannya juga cukup besar dan mengenyangkan. Bolehlah makan puas-puas sambil bergosip. Eh? Hiks!

Alamat: Lot 2188 Tingkat Bawah, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00 am – 9.30 pm) | Jumaat (Tutup)

28. The Syrup VS Soda

35 port makan

Dah sampai di kedai ni nanti, jangan lepaskan peluang untuk mencuba burgernya. Ini kerana, daging yang digunakan bukanlah daging kilang biasa, tapi adalah daging yang dihasilkan sendiri. Unik dan sungguh menyelerakan.

Selain burger, hidangan lain yang ada adalah seperti nasi goreng kambing, chimichurri chicken salad, chicken grill, carbonara beef, nasi goreng kerang, nasi goreng kam heong, nasi goreng tom yam dan macam-macam lagi.

Alamat: The Syrup VS Soda, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (4.30 pm – 11.30 pm) | Jumaat (Tutup)

29. Simpang Corner

Simpang Corner Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Hidangan yang boleh dicuba sekiranya singgah ke kafe ini adalah char kuey teow, spaghetti carbonara, steak, burger dan lain-lain lagi. Harga? Cukup berpatutan, dan saiz hidangannya juga mengenyangkan.

Kalau bernasib baik, anda dapat makan sambil menyaksikan persembahan muzik live yang selalu diadakan di kafe ini pada waktu malam.

Alamat: Jalan Lapangan Terbang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00 pm – 12.00 am)

30. Haji Pok Long ICT

Haji Pok Long ICT - Gambar Makanan

Sedapnya celup tepung di sini sampaikan gerainya selalu penuh dengan pelanggan. Sotong, ketam, udang dan ikan, semuanya ada untuk dipilih. Dihidang rangup bersama dengan sos cili istimewa, aroma yang menerpa sungguh menggoda jiwa.

Sebagai pencuci mulut, kedai ini turut menyediakan ais kacang jagung yang tak kurang sedapnya. Minuman yang sesuai untuk dinikmati sambil makan celup tepung ni pula sudah semestinya, air kelapa yang menyegarkan.

Alamat: Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (2.30 pm – 7.30 pm) | Rabu (Tutup)

31. Nasi Kerabu Warisan Nusantara

Nasi Kerabu Ayam Bakar Warisan Nusantara - Gambar Makanan

Bayangkan makan nasi kerabu daging bakar ataupun ayam bakar yang beraroma menggoda bersama dengan lada solok, sedapnya tak terkata. Berhati-hati bila makan dengan sambal lada keringnya, sebab tahap kepedasannya bukan main-main!

Alamat: Jalan Ibrahim, Kampung Bukit Besar, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.30 am – 12.30 pm)

32. D’Tunggal Seafood

D'Tunggal Seafood Kuala Terengganu - Gambar Makanan

Antara hidangan yang terkenal di restoran ini adalah tom yam yang dihidangkan dalam tempurung kelapa, ikan siakap masak steam, sotong masak telur, ikan bakar berempah dan banyak lagi.

Minuman yang boleh ditempah untuk melengkapkan hidangan adalah teh beng. Gabungan yang mantap!

Alamat: Lot 17608 Taman Semarak Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (3.00 pm – 12.00 am)

33. D’Ganu Cafe Steamboat

35 port makan

Sajian yang mereka tawarkan adalah aneka masakan laut, masakan barat dan juga tempatan. Tidak hanya menyediakan masakan panas, seperti nama kafenya ‘D’Ganu Café Steamboat,’ anda boleh juga menikmati steamboat bersama dengan kuah tom yam serta sos yang enak.

Alamat: GM1 & GM2, Food Court, Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (4.45 pm – 12.00 am) | Selasa (Tutup)

34. Restoran Asia Signature

35 port makan

Untuk suasana restoran yang lebih eksklusif dan penuh dengan keselesaan, anda boleh membawa keluarga menikmati hidangan di Restoran Asia Signature.

Berkenaan dengan menu yang disediakan, cukup banyak, anda pasti rambang mata melihat pilihan yang ada. Antara menunya adalah seperti kari ayam, butter chicken, ikan masak masam manis, asam laksa, keropok steam dan banyak lagi.

Alamat: 134, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 1.00 am)

35. Aidilsroti

35 port makan

Antara hidangan ‘panas’ dalam kalangan pelanggan di sini adalah roti kebab, roti goyang gedik, roti shawarma, roti gulung, roti pisang dan roti tisu. Selain makanan berasaskan roti, di medan selera ini turut terdapat kambing bakar.

Untuk minumannya pula, banyak minuman special yang boleh dipilih antaranya adalah teh buih leleh dan green tea.

Alamat: Kios No3 Medan Selera MBKT Bawah Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Hiliran, Jalan, Kampung Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.45 am – 12.30 pm) | Rabu (Tutup)

Inilah top 35 port makan menarik yang anda patut dikunjungi ketika bercuti di Kuala Terengganu. Tidak hanya keropok lekor, berbagai jenis hidangan yang lezat dapat ditemui di bandar ini, menjadikannya salah satu destinasi utama yang sepatutnya dimasukkan dalam senarai perancangan percutian.

Sekarang, setelah mengetahui lokasi tempat makan yang sedang viral, tunggu apa lagi? Segera rancang percutian ke Kuala Terengganu! Selamat berlibur dan selamat menikmati hidangan lazat!

Baca juga: 5 Tempat Makan Laksa Utara Padu Korang Kena Terjah

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN