Kalau ada banyak pisang lebih dekat rumah, memang wajib cuba resepi apam pisang ni. Maklumlah, kalau asyik buat cekodok pisang pun bosan juga kan?
Di Malaysia, kek atau apam pisang telah menjadi kegemaran semua golongan kerana rasanya yang lemak, lembut, dan tidak terlalu manis.
Kalau mahu hasilnya lebih sedap, lebihkan kuantiti pisang semasa dalam proses penyediaannya.
Baca juga: Kuih Cara Berlauk Inti Daging, Buat Guna Acuan Kuih Tradisional
Bentuk apam pisang yang kecil dan comel juga sangat sesuai untuk dihidangkan kepada anak-anak.
Kalau buat sendiri dah tentulah lebih berbaloi, dapat dimakan panas-panas bersama teh atau kopi. Memang terbaik!
Jadi, jom kita cuba resepi apam pisang oleh Cik Puan Lisa Aisha yang sangat mudah untuk dicuba.
RESIPI APAM PISANG GEBU
Bahan A:
- 2 cawan tepung gandum
- 1 sdt baking powder
- 2 sdt soda bikarbonat
Nota: ayak semua bahan
Bahan B:
- 1 1/2 cawan pisang emas yang dilenyek
- 1 cawan minyak jagung (apam lebih gebu guna minyak ini)
- 1 cawan gula pasir
- 3 biji telur
- 1 sdt esen pisang
- 1 sdt perahan limau nipis
Nota: blend semua bahan kecuali pisang sehingga sebati.
Cara-cara penyediaan:
1. Satukan bahan A dan bahan B. Gaul hingga sebati.
2. Tuang ke dalam bekas dan kaup balikkan adunan supaya semua bahan sebati.
3. Sapu sedikit minyak pada acuan putri ayu dan tuang adunan tadi. Jika tiada acuan, boleh juga gunakan cawan kertas atau loyang.
4. Kukus selama 20 minit atau hingga apam masak. Jika guna acuan lebih besar atau loyang, waktu memasak perlu ditambah.
5. Angkat, sejukkan dan sedia untuk dinikmati.
Selamat mencuba resipi ini.
Baca juga: Pulut Dakap Pisang Macam Orang Lama, Kuih Warisan Melayu Pantai Timur