Pasangan Masam Manis, iaitu Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, 38 dan isterinya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 31 berjaya menewaskan dua lagi pasangan keluarga dengan bergelar juara yang pertama pada pertandingan akhir program realiti masakan Dapur Tempur.
Kemenangan Masam Manis melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 beserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk NONA selama setahun.
Hidangan yang disediakan Masam Manis dalam cabaran Set Lauk Kenduri iaitu Rendang Daging, Nasi Minyak, Kek Oren bersama Ais Krim Kelapa, dan jus Tembikai Buah Naga.
Artikel berkaitan: ‘Presentation’ Kurang Menyerlah, Juri Dapur Tempur Kritik Prestasi Peserta Minggu Separuh Akhir
Pasangan Masam Manis berkata, usaha mereka hingga ke peringkat akhir berbaloi kerana dapat bertanding bersama-sama pasangan dari cabaran episod pertama hinggalah ke peringkat akhir ini.
Dalam pada itu, juri tetap yang dibarisi oleh Chef Adu Amran mengatakan kedua-dua pasangan Masam Manis serta Seketul Rasa telah berjaya memikat hatinya dalam cabaran akhir iaitu Set Lauk Kenduri namun beza satu mata yang mengangkat pasangan Masam Manis menjadi juara.
“Bagi saya, kedua-dua pasangan adalah pemenang. Kalau ada perbezaan pun dari markah penjurian saya, mungkin satu markah sahaja yang membezakan mereka berdua. Mana-mana menang pun saya gembira,” kata Chef Adu Amran pada episod akhir.
Tempat kedua telah dimenangi oleh pasangan Seketul Rasa dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic.
Pusingan akhir itu telah diadili oleh tiga juri iaitu Chef Adu Amran, Sheila Rusly dan Michael Ong yang dijemput sebagai juri jemputan Dapur Tempur minggu terakhir.