Kalau dah bosan makan spageti dengan sos yang sama, apa kata cuba resipi spageti aglio olio yang digabungkan dengan udang dan aneka sayuran berwarna-warni ini. Bukan sahaja nampak menarik, malah rasanya juga cukup menyelerakan!

Hidangan pasta ini mempunyai aroma bawang putih yang ditumis bersama minyak zaitun dan kepedasan ringan daripada chili flakes. Ditambah pula dengan udang, brokoli, cendawan serta lada benggala, setiap suapan terasa lebih meriah.

Menariknya, resipi ini tidak menggunakan sos yang rumit. Bahan-bahannya juga mudah didapati dan cara penyediaannya tidak mengambil masa terlalu lama. Sesuai dijadikan menu makan tengah hari atau makan malam untuk seisi keluarga.

Baca juga: Resipi Spageti Bolognese ‘Goreng’ Versi Lain Dari Biasa, Idea Sarapan Yang Mengenyangkan!

RESIPI SPAGETI AGLIO OLIO

resipi spageti aglio olio

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus spageti
  • Udang secukupnya
  • 1 labu bawang putih (dicincang halus)
  • Minyak zaitun secukupnya
  • 2 sudu kecil chili flakes
  • Lada benggala hijau dan merah (dipotong dadu)
  • Tomato (dipotong dadu)
  • Brokoli (dicelur sekejap)
  • Cendawan shimeji secukupnya
  • Parsley flakes secukupnya
  • Serbuk paprika secukupnya
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • Serbuk perasa secukupnya
  • Keju parmesan secukupnya

Cara-cara penyediaan:

  1. Rebus spageti dalam air yang dicampurkan sedikit garam sehingga masak mengikut arahan pada bungkusan. Toskan dan simpan sedikit air rebusan pasta untuk digunakan kemudian.
  2. Panaskan minyak zaitun di dalam kuali menggunakan api sederhana. Masukkan bawang putih yang dicincang halus dan tumis sehingga naik bau serta sedikit keemasan. Pastikan bawang putih tidak hangus supaya rasanya tidak pahit.
  3. Masukkan chili flakes dan kacau seketika supaya rasa pedasnya meresap ke dalam minyak.
  4. Kemudian, masukkan udang dan gaul sehingga masak.
  5. Masukkan spageti yang telah direbus tadi. Gaul rata supaya minyak bawang putih dan bahan tumisan melapisi keseluruhan pasta. Jika nampak terlalu kering, tambahkan sedikit air rebusan pasta.
  6. Masukkan lada benggala hijau dan merah, tomato, cendawan shimeji serta brokoli. Gaul sehingga semua bahan bercampur sekata.
  7. Perasakan dengan serbuk perasa dan lada hitam secukupnya. Taburkan parsley flakes, kemudian kacau rata sebelum tutup api.
  8. Akhir sekali, taburkan keju parmesan dan sedikit serbuk paprika jika suka.
  9. Sedia untuk dihidangkan ketika masih panas.

Tip: Jangan buang semua air rebusan spageti kerana sedikit air berkanji ini boleh membantu menjadikan minyak dan bahan perasa lebih mudah bersalut pada pasta.

Sumber: Saida Wati Nordin

Baca juga: Resipi Spageti Buttermilk ‘Creamy’ Dengan Ayam Popcorn Rangup, Dah Cuba Sekali Mesti Nak Ulang Lagi!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending