Tornado omelette merupakan hidangan telur yang terkenal dengan bentuknya yang berpusar seperti puting beliung. Hidangan ini sering dilihat dalam masakan Korea, terutamanya apabila telur dihidangkan di atas nasi.

Walaupun nampak seperti hidangan yang hanya boleh dibuat oleh tukang masak profesional, tornado omelette sebenarnya boleh dicuba sendiri di rumah. Bahan-bahannya juga ringkas dan mudah didapati, iaitu telur, sedikit susu serta perasa mengikut cita rasa.

Apa yang membuatkan resipi telur ini menarik ialah teknik memasaknya untuk menghasilkan bentuk beralun yang cantik. Telur yang dimasak dengan betul akan menghasilkan tekstur lembut di bahagian dalam, ia juga boleh dinikmati bersama kepingan roti bakar untuk sarapan pagi yang ringkas.

Baca juga: Telur Kopitiam Guna Periuk Biasa, 7 Minit Saja Dah Boleh Dapat Kuning Cair Elok!

RESIPI TORNADO OMELETTE

tornado omelette

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur
  • Secubit garam
  • Minyak masak secukupnya

Cara-cara penyediaan:

  1. Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukkan secubit garam. Pukul sehingga sebati, kemudian tapis adunan telur untuk mendapatkan tekstur yang lebih halus.
  2. Panaskan kuali tidak melekat dengan api sederhana tinggi sehingga cukup panas. Tuangkan sedikit minyak masak dan ratakan pada permukaan kuali.
  3. Tuangkan adunan telur ke dalam kuali. Biarkan seketika sehingga bahagian tepi telur mula mengeras dan gelembung udara mula terbentuk di bahagian tengah.
  4. Pegang dua batang penyepit kayu secara menyerong, satu pada setiap tangan. Tolak bahagian tepi telur ke arah tengah sambil memusingkan penyepit ke arah yang sama untuk membentuk pusaran.
  5. Teruskan memusingkan telur dengan perlahan dan tukar pegangan tangan jika perlu supaya pergerakan lebih mudah. Pastikan telur tidak dimasak terlalu lama kerana teksturnya boleh menjadi terlalu pejal dan mudah pecah.
  6. Apabila telur hampir masak sepenuhnya tetapi masih lembut, pegang bentuk pusaran menggunakan penyepit dan alihkan telur perlahan-lahan dari kuali.
  7. Hidangkan tornado omelette di atas nasi putih atau nasi goreng kegemaran. Tambahkan sos pilihan jika suka dan nikmati ketika masih panas.

Sumber: My Korean Kitchen

Baca juga: Cara Goreng Telur Mata Yang ‘Perfect’, Putih Rangup Tapi Kuning Tak Pecah & Masih Cair

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending