Kalau teringin lauk yang kuahnya pekat, berempah dan cukup rasa masam pedas, asam pedas Melaka antara menu yang memang boleh buat nasi bertambah. Kuahnya yang sedikit berminyak dengan aroma rempah menjadikan hidangan ini cukup menyelerakan.

Berbanding sesetengah versi asam pedas yang lain, gaya Melaka mempunyai rasa dan aroma tersendiri. Penggunaan bawang besar, halba campur dan daun kesum membantu menghasilkan kuah yang lebih wangi serta kaya rasa.

Untuk ikan pula, boleh gunakan ikan tenggiri, ikan parang, ikan pari atau ikan duri mengikut selera. Hidangkan bersama nasi putih panas dan memang sesuai dijadikan lauk untuk makan tengah hari atau makan malam.

Baca juga: Cara Buat Sambal Cili Padi Ikan Cencaru, Rupanya Letak Cuka Buat Rasa Lagi Menyengat!

RESIPI ASAM PEDAS MELAKA

asam pedas melaka

Bahan utama:

  • 500g ikan tenggiri, ikan parang, ikan pari atau ikan duri
  • 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 batang serai (dititik)
  • 1 helai daun kunyit (disiat dan disimpul)
  • 1 genggam daun kesum
  • 1 sudu teh halba campur
  • 500ml air
  • 1 keping asam gelugur
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan kisar:

  • 8 tangkai cili kering (direbus dan dibuang biji)
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci belacan (jika suka)

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam kuali atau periuk. Masukkan halba campur dan tumis seketika hingga naik bau.
  2. Masukkan bawang besar yang dihiris. Tumis sehingga bawang layu.
  3. Masukkan bahan kisar bersama serai. Tumis dengan api sederhana sehingga bahan betul-betul masak, pecah minyak dan naik bau.
  4. Tuangkan air, kemudian masukkan daun kunyit dan asam gelugur. Biarkan kuah mendidih.
  5. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan dan daun kesum.
  6. Perasakan dengan garam dan sedikit gula mengikut cita rasa.
  7. Masak sehingga ikan masak dan kuah menjadi sedikit pekat. Elakkan terlalu kerap mengacau supaya ikan tidak mudah hancur.
  8. Tutup api dan hidangkan asam pedas Melaka bersama nasi putih panas.

Sumber: Shauki Ki

Baca juga: Resipi Ikan Temenung Masak Asam, Menu Kampung Yang Sedap Sampai Kuah Pun Licin!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending