Kalau selalu buat kek batik dalam loyang, kali ini boleh cuba pula kek batik gulung. Cara membuatnya pun mudah kerana hanya perlu masak adunan coklat, gaulkan dengan biskut marie dan kacang, kemudian bentukkan menjadi gulungan.

Untuk resipi ini, biskut marie dipatahkan terlebih dahulu sebelum dicampurkan ke dalam adunan coklat yang dimasak bersama butter dan beberapa bahan lain. Kacang campuran pula boleh ditambah untuk memberikan tekstur yang lebih rangup.

Satu perkara penting ketika membuat kek batik gulung ialah proses membentuknya. Adunan perlu digulung ketika masih suam kerana akan menjadi lebih keras apabila sudah sejuk. Selepas disejukkan dalam peti ais, kek batik boleh dipotong dan terus dinikmati.

Baca juga: Resipi Blueberry Crumble Burnt Cheesecake, Gabungan Kek Lembut & Topping Rangup Memang Ngam!

RESIPI KEK BATIK GULUNG

kek batik gulung

Bahan-bahan:

  • 1 pek biskut marie (dipatahkan)
  • Serbuk coklat secukupnya
  • 250g buttercup
  • Susu pekat secukupnya
  • Esen vanila
  • Kacang campuran secukupnya

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan butter, susu pekat dan esen vanila ke dalam kuali. Kacau sehingga semua bahan sebati dan butter cair sepenuhnya.
  2. Masukkan serbuk coklat dan kacau rata. Masak menggunakan api sederhana sehingga adunan sebati.
  3. Masukkan biskut marie yang sudah dipatahkan bersama kacang campuran. Gaul perlahan-lahan sehingga semua biskut bersalut dengan adunan coklat.
  4. Sediakan plastik bungkus makanan dan masukkan adunan kek batik ke dalamnya.
  5. Bentukkan adunan menjadi gulungan ketika masih suam. Buat dengan cepat kerana adunan akan semakin keras apabila sejuk dan menyukarkan proses membentuknya.
  6. Masukkan kek batik gulung ke dalam peti sejuk dan biarkan sehingga mengeras.
  7. Selepas sehari, keluarkan kek batik dan potong mengikut ketebalan yang disukai sebelum dihidangkan.

Sumber: Rafidah Mokhtar

Baca juga: Resepi Kek Marble Lembut & Gebu, Bila Potong Coraknya Cantik Sangat!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending