Kalau mencari idea lauk yang mudah tetapi tetap menyelerakan, ayam masak merah santan ini boleh dicuba. Resipinya menggunakan bahan yang ringkas seperti cili kisar, bawang, sos cili, sos tomato dan santan.

Untuk resipi ini, ayam digoreng sekejap terlebih dahulu selepas digaul dengan kunyit dan garam. Kemudian, ayam dimasak pula bersama kuah merah yang dimasak hingga pecah minyak supaya bahan-bahannya sebati.

Sedikit kacang peas turut ditambah untuk memberikan rasa dan tekstur pada hidangan. Resipi ini sesuai untuk anggaran 2 hingga 3 orang makan, jadi bolehlah dijadikan salah satu pilihan lauk untuk hidangan di rumah.

Baca juga: Cara Membuat Ayam Bakar Ala Domino’s Guna Air Fryer, Anak-Anak Confirm Suka!

RESEPI AYAM MASAK MERAH SANTAN

Bahan-bahan:

  • 4 ketul dada ayam
  • Kunyit secukupnya
  • Garam secukupnya
  • 2 sudu besar kacang peas
  • 2 sudu besar bawang merah kisar
  • 1 sudu besar bawang putih kisar
  • 5 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 3-4 sudu besar santan
  • Sedikit air
  • Garam jika perlu
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara-cara penyediaan:

  1. Gaulkan ayam dengan sedikit kunyit dan garam hingga sebati. Goreng ayam sekejap sehingga masak dan ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Masukkan bawang merah kisar dan bawang putih kisar, kemudian tumis hingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili masak serta pecah minyak.
  4. Masukkan sos cili, sos tomato dan santan. Gaul hingga semuanya sebati.
  5. Tambahkan sedikit air dan garam jika perlu. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih perlahan.
  6. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi bersama kacang peas. Gaul supaya ayam bersalut dengan kuah.
  7. Kecilkan api dan biarkan seketika sehingga ayam mesra dengan kuah dan kuah mencapai kepekatan yang diinginkan.
  8. Tutup api dan ayam masak merah santan sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Azura Masrun

Baca juga: Resepi Sup Ayam Kampung, Bila Buat Tumis Darat Lagi Wangi, Satu Rumah Boleh Lapar!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending