Orang tua-tua selalu kata, jika tumis sambal, kena pecah minyak. Tapi, tak ramai yang faham maksud pecah minyak itu. Oleh itu, kami akan kongsikan cara untuk anda mengetahuinya.
Buat mereka yang sudah pakar atau selalu masak di dapur, maksud pecah minyak itu bukanlah satu masalah lagi. Boleh dikatakan, kemahiran memasak itu sebati dalam diri.
Cuma buat mereka yang baru berjinak-jinak di dapur, mungkin tertanya-tanya tentang bagaimana cara menumis dan maksud pecah minyak ini. Jom kita tengok!
Baca juga: Cara Bersihkan Minyak Tumpah Atas Karpet, Guna Satu Bahan Saja Sudah Cukup!
MAKSUD PECAH MINYAK
1. Cara menumis sehingga pecah minyak.
Jika anda ingin menumis masakan seperti rempah kari atau sambal tumis, mula-mula kena panaskan kuali dan minyaknya terlebih dahulu. Selepas itu, masukkan bahan tumisan dan kacau sehingga pecah minyak.
2. Minyak akan nampak terpisah dengan bahan tumisan.
Bagaimana untuk tahu sudah pecah minyak atau belum? Sewaktu mengacau bahan tumisan, anda perlu lihat pada rupanya.
Jika anda lihat minyak sudah timbul di bahagian atas dan bahan tumisan berada di bahagian bawah, bermakna masakan anda sudah pecah minyak.
3. Bau juga menjadi lebih wangi.
Selain melihat pada rupanya, anda perlu bau juga masakan tersebut. Waktu ini, lebih mudah untuk kenal pasti sama ada sudah betul-betul pecah minyak atau belum.
Setelah masakan sudah pecah minyak, perbezaan bau akan menjadi sangat ketara daripada bau cili mentah kepada bau cili yang sudah masak. Awal-awal belum biasa, tapi lama-lama, pasti akan mahir nanti.
4. Sebab utama kena pecah minyak.
Buat mereka yang baru belajar memasak, soalan pertama yang akan terlintas di fikiran semestinya adalah kenapa perlu pecah minyak dan tak bolehkah jika masak seperti biasa saja?
Sebenarnya, bahan tumisan yang mengandungi cili giling atau rempah perlu dimasak sempurna supaya tak mendatangkan alahan pada masakan.
Jika cili tak dimasak sempurna, bukan saja boleh menyebabkan sakit perut, malah rasanya juga menjadi kurang sedap dan tak kena dengan citarasa.
Semoga bermanfaat!
Sumber: shersonlian
Baca juga: Tips Kurangkan Percikan Minyak Semasa Masak Sambal, Tak Bersepah Jadinya!