Paru goreng berempah ternyata mampu dijadikan hidangan yang amat sedap jika dimasak dengan cara yang betul. Bagi mereka yang kurang gemar dengan paru yang berkuah, resipi paru ini pasti akan memikat selera.
Paru yang digoreng rangup dengan rempah yang cukup rasa, membuatkan ia lebih lazat dimakan begitu sahaja atau dihidangkan bersama nasi panas.
Mari kita lihat cara mudah untuk menyediakan paru goreng berempah ini!
Baca lagi: Resipi Nasi Ayam Madu, Sedap & Kenyang Sampai Tersandar
RESIPI PARU GORENG BEREMPAH
Bahan-Bahan:
- 1 kg paru (direbus bersama sedikit garam dan potongan halia, kemudian toskan dan hiris nipis-nipis)
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
- 1 biji bawang Holland (potong bulat)
- Daun kari secukupnya
- 1 sudu besar serbuk kari daging
- 3 sudu besar tepung jagung (boleh menggunakan jenama Bestari)
Bahan Tumbuk:
- 1 sudu besar biji ketumbar
- 1 sudu besar biji jintan manis
Bahan Kisar:
- 1 inci kunyit hidup
- 2 batang serai
- 3 tangkai cili merah
- 10 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci halia
Cara Penyediaan:
1. Mulakan dengan merebus paru bersama sedikit garam dan beberapa keping halia. Rebus sehingga paru lembut. Setelah itu, toskan air rebusan dan hiris paru secara nipis-nipis.
2. Ambil bahan-bahan kisar seperti kunyit hidup, serai, cili merah, bawang merah, bawang putih, dan halia. Kisar bahan-bahan ini hingga halus.
3. Seterusnya, tumbukkan biji ketumbar dan biji jintan manis hingga lumat.
4. Gaulkan hirisan paru dengan bahan kisar, bahan tumbuk, garam, serbuk kari, dan sedikit serbuk kari daging untuk memberi rasa pedas yang lebih.
5. Tambahkan tepung jagung dan sedikit air supaya rempah lebih mudah melekat pada paru. Gaul semua bahan hingga sebati dan perapkan selama setengah jam. Proses perapan ini akan membolehkan rempah meresap dengan baik ke dalam paru.
6. Setelah diperap, panaskan minyak dalam kuali. Goreng paru yang telah digaul rempah sehingga garing dan rangup. Jika anda tidak suka terlalu garing, boleh sesuaikan waktu menggoreng mengikut kehendak.
7. Pada separuh masa menggoreng, masukkan bawang Holland yang dipotong bulat dan daun kari. Kacau sehingga bawang menjadi lembut dan paru masak dengan sempurna.
8. Setelah paru masak dan garing, angkat dan toskan minyaknya. Paru goreng berempah kini siap untuk dihidangkan.
Sumber: Nur Masri
Baca lagi: Resipi Roti Poket Dengan Inti Lazat, Ringkas Tapi Buat Perut Kenyang!