Resipi nasi Moroccan dan ayam panggang ini sesuai jika anda hidangkan sewaktu majlis keramaian kerana lagi berbaloi sekiranya buat sekali banyak.
Bak kata orang, barulah penat memasak itu berbaloi. Nama pun nasi Moroccan, sudah tentu rasanya kaya dengan rempah ratus!
Jom baca resipi perkongsian ini.
Baca juga: Kek Pisang Coklat, Kaya Dengan Rasa Coklat & Tekstur Lebih Lembut
RESIPI NASI MOROCCAN DAN AYAM PANGGANG
Bahan perapan ayam:
- ½ ekor ayam
- 2 sudu besar rempah sup
- 1 sudu serbuk cili
- 4 sudu besar minyak zaitun
- 2 sudu besar gula merah
- 1-2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar serbuk lada hitam
- 1 sudu oregano (pilihan)
- 1 sudu besar rosemary kering
- 2 sudu besar kicap karamel
- Garam secukup rasa
Cara penyediaan ayam panggang:
1. Gaulkan semua bahan perapan dan perap ayam selama sekurang-kurangnya 2 jam atau semalaman untuk rasa yang lebih mendalam.
2. Bakar ayam dalam oven pada suhu 180-200°C selama 30-45 minit atau sehingga ayam masak sepenuhnya. Jika tiada oven, anda boleh grill ayam dalam kuali dengan api kecil dan tutup dengan tudung periuk.
Resepi sos salsa Moroccan:
1. Kisar kasar 5 biji cili merah/hijau besar, 1 biji bawang merah besar, 2 biji tomato, 4 sudu besar minyak zaitun, perahan lemon, garam, 1 sudu kecil serbuk cumin, daun ketumbar, dan gula secukup rasa.
2. Masak sekejap jika ingin tahan lama atau makan segar.
Resepi Nasi Moroccan:
1. Rendam 3 cawan beras basmati selama 30 minit.
2. Tumis kulit kayu manis, biji ketumbar, bunga lawang, daun bay leaf, bawang putih dan bawang merah kisar dengan minyak sapi atau butter hingga naik bau.
3. Masukkan 1 cawan air, serbuk cili, serbuk kurma, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk lada hitam, kunyit, garam, dan tomato puri. Biarkan pecah minyak.
4. Masukkan air mengikut nisbah 1:1.5 dengan beras, masukkan beras, kiub ayam, tomato dadu, kismis, dan cili hijau. Masak sehingga nasi sempurna.
5. Tabur bawang goreng dan daun parsley atau daun sup sebelum dihidangkan.
Selamat mencuba!
Sumber: Shida Razak KC
Baca juga: Resipi Brownies Paling Mudah. Sesuai Untuk Yang Tak Suka Manis, Rasa Ngam Dengan Tekak