Apabila selalu makan sate ayam dan daging, anda boleh cuba kelainan dengan membuat Sate Ikan Homemade Bersama Sos Manis ini. Lebih padu berbanding beli di luar.
Sate ikan atau dipanggil juga sebagai lokcing, merupakan sate bersama isi ikan yang sedap dan lembut. Biasanya sate ikan ini banyak dijual di pasar malam.
Hari ini anda boleh cuba buat sate ikan sendiri di rumah dengan mengikuti resipi yang dikongsikan oleh Siti Hajar Ibu Sara di Facebook. Hasilnya sedap dan lembut!
Baca juga: Resepi Sate Lipat Lembut & Sedap, Dengan 5 Langkah Mudah Je Dah Siap!
RESIPI SATE IKAN BERSAMA SOS MANIS STAIL HOMEMADE
Bahan-bahan sate ikan:
- 6 ekor ikan selayang (saiz besar)
- 1 cawan tepung ubi
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- garam secukup rasa
- serbuk perasa
- bawang besar 1 biji
Bahan-bahan sos:
- 5 tangkai cili kering
- 2 ulas bawang merah
- 5 ulas bwang putih
- 6 sudu gula
- 5 sudu tepung ubi
- 3 cawan air
- Pewarna merah
- Garam
Cara-cara penyediaan sate ikan:
1. Kisar isi ikan yang dibuang tulang dengan bawang besar. Letak sedikit garam dan serbuk perasa sampai lumat. Masukkan adunan yang dikisar ke dalam mangkuk.
2. Masukkan tepung ubi yang dicampur dengan soda bikarbonat sedikit demi sedikit.
3. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan. Jika adunan masih melekat boleh tambah sedikit tepung ubi lagi. Gentel adunan menjadi bulat kecil.
4. Goreng sekejap dengan api yang sederhana. Angkat dan toskan.
5. Cucuk pada lidi sate dan bakar sedikit. Sate dah siap!
Cara-cara penyediaan sos manis:
1. Kisar bawang merah, bawang putih, gula, garam dan cili kering.
2. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Masak di atas dapur dengan api kecil.
3. Bancuh 5 sudu tepung ubi dengan 3 cawan air dan letakkan sedikit pewarna merah.
4. Masukkan tepung yang dibancuh ke dalam periuk tadi. Kacau sehingga sos menjadi pekat dan warna berkilat. Perasakan manis atau masin ikut citarasa masing-masing. Sos dah siap!
Buat anda yang sukakan pedas, anda hanya perlu masukkan cili padi semasa mengisar bahan-bahannya.
Memang sedap makan sate ikan ini bersama sos manis. Paling penting, ia stail homemade. Selamat mencuba!
Sumber: Siti Hajar Ibu Sara