Sebut sahaja biskut goreng, pasti ramai yang mengenalinya kerana snek ini sangat menggamit nostalgia semasa zaman kanak-kanak.
Biskut adalah sejenis kuih kering yang dibakar berbentuk leper, nipis dan rangup. Sekarang ia sudah ada dalam pelbagai bentuk dan warna yang sentiasa memeriahkan suasana.
Boleh dikatakan ramai yang makan biskut tanpa mengira waktu untuk sarapan pagi dan minum petang. Makan biskut sambil cicah air teh atau kopi memang nikmat.
Biskut boleh dijadikan snek rangup yang menyelerakan pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Ramai menggunakan biskut ketika membuat kek dan kuih tapi ia tetap tidak setanding dengan resipi yang dikongsikan oleh Safisha Salasiah M Said di Facebook ini.
Manalah tahu anak tiba-tiba lapar pada waktu malam kemudian anda sudah kering idea, bolehlah hidangkan snek yang sedap ini. Anak mesti suka!
Baca juga: Buat Sendiri Je Biskut Tawar Homemade, Sama Sedap Macam Beli
RESIPI BISKUT GORENG
Bahan-Bahan:
- Biskut Hup Seng cap Ping Pong
- Bawang merah
- Telur
- Ikan bilis
- Sedikit minyak
- Sedikit air suam
- Secubit garam
Cara-cara:
1. Patah-patahkan biskut Hup Seng cap Ping Pong dan simbah dengan sedikit air suam untuk lembutkan biskut.
2. Tenggek kuali dan panaskan sedikit minyak.
3. Goreng ikan bilis sehingga garing kemudian campakkan bawang merah yang dimayang. Goreng sehingga bawang merah menjadi layu.
4. Masukkan telur. Gaul sampai nampak telur dah masak sekata. Kemudian masukkan biskut yang telah direndam tadi dan garam.
5. Kacau kemudian tutup api. Siap untuk dihidang!
Biskut goreng ini merupakan snek kesukaan ramai yang paling mudah dan cepat dibuat. Orang lama mesti tahulah tentangnya.
Anda juga boleh gaulkannya bersama potongan cili jika sukakan pedas. Tambah dengan lada hitam pun sedap.
Kalau nak hidangan nampak kreatif hiaslah dengan sedikit daun bawang. Boleh jadikan biskut goreng ini sebagai idea snek yang menarik. Selamat mencuba!
Sumber: Safisha Salasiah M Said
Baca juga: Buat Sendiri Biskut Gery Cheese Di Rumah, Guna 4 Bahan Je!