laksa utara

Bagi pelancong domestik, sajian laksa utara antara menu tradisi dan ditawarkan dalam pelbagai variasi mengikut daerah atau negeri masing-masing.

Bukan sahaja rasa kuah malah tekstur juga berbeza termasuk jenis laksa digunakan dan perincian lain untuk menambah kelazatan hidangan masing-masing.

Artikel berkaitan: Resipi Laksa Penang Ala-Ala Aeon, Pekat Padu Dan Confirm Puas Hati!

Mengenai hidangan laksa utara, rasa masam, kepedasan dan aroma menjadi intipati yang mampu menaikkan selera peminat hidangan itu.

Tidak hairanlah destinasi utara menjadi ‘lubuk’ bagi pemburu sajian tradisi itu sehingga setiap lokasi yang tular pasti dikunjungi untuk merasai sendiri kelainannya.

Berikut beberapa lokasi yang mesti dikunjungi peminat hidangan menurut Harian Metro.


1. Laksa Telur Sarang, Kuala Kangsar, Perak


Kuala Kangsar bukan sekadar dikenali sebagai bandar diraja di Perak, malah ia antara ‘port’ menarik bagi hidangan laksa utara.

Versi laksa asli Kuala Kangsar adalah laksa tepung beras digabungkan dengan kuah yang lebih cair.

Bagi sajian ini medan selera yang terletak di Lembah Sungai Perak di bandar itu antara lokasi popular menyajikan sajian terbabit.

Selain versi laksa terbabit terdapat juga beberapa lokasi sekitar bandar menyajikan sajian laksa dengan mengetengahkan idea tersendiri.

Ini termasuklah Laksa Lubuk dan Laksa Pokok Limau yang menyajikan laksa bersama telur goreng yang rangup.

Boleh dikatakan apabila hujung minggu, lokasi ini menjadi perhatian peminat hidangan berkenaan dari negeri lain.


2. Laksa Udang Kuala Sepetang, Taiping, Perak


Bagi peminat hidangan laksa utara, versi laksa dari Kuala Sepetang mesti dicuba kerana menampilkan udang sebagai hiasan.

Rasa manis, udang tidak tenggelam dek rasa ikan dalam hidangan itu. Sebaliknya udang memberi keseimbangan dan meningkatkan rasa manis sebaik dinikmati dalam laksa.

Antara port tersohor untuk menikmati sajian itu adalah Restoran Mee Udang MakJah yang turut menyajikan sajian popular tempatan, mi udang.

Sambil menikmati panorama petang di Kuala Sepetang, sajian itu melengkapkan lagi percutian ke perkampungan nelayan berkenaan.


3. Laksa Arang, Gurun, Kedah


Bagi yang tidak pernah merasai sajian dimasak menggunakan kaedah lama iaitu dapur kayu atau arang, di Gurun, Kedah terdapat satu lokasi menyediakan sajian terbabit.

Penyediaan laksa menggunakan arang memberi kelainan terhadap aroma dan rasa masakan di restoran Maksu Laksa Dapur Arang.

Difahamkan ada peminat sajian itu sanggup merentasi dari Selatan ke Utara bagi menikmati sajian terbabit.

Pengunjung boleh memilih untuk menikmati sajian bersama otak udang ataupun tidak. Jika hujung minggu dan musim cuti persekolahan, restoran terbabit sentiasa dipenuhi pengunjung.

Restoran ini yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 7 petang turut popular dengan sajian lain seperti mi rebus dan laici kang.


4. Laksa Ikan Sekoq, Langkawi, Kedah


Peminat sajian laksa pastinya tidak boleh lupa dengan hidangan laksa ikan sekoq sangat tersohor di Langkawi.

Kedudukan ‘port’ makan ini cukup strategik iaitu berhampiran dengan lapangan terbang.

Perjalanan hanya mengambil kira-kira 10 minit dengan kenderaan sebaik keluar dari lapangan terbang. Malah jika menggunakan khidmat teksi atau e-hailing, tambangnya sekitar RM5 hingga RM8 sahaja.

Tidak perlu bimbang dengan pengunjung yang ramai atau menu terbabit habis kerana terdapat pelbagai pilihan gerai iaitu trak makanan yang menawarkan sajian berkenaan.


5. Laksa Beras Kuala Perlis


Jika berada di Perlis, tidak lengkap sekiranya tidak menikmati laksa Kuala Perlis atau dikenali juga sebagai ‘laksa kola’.

Bagi penduduk tempatan, laksa kola restoran Kak Su Laksa yang terletak di Jalan Siakap Satu, Kuala Perlis adalah antara yang popular dan amat sinonim kerana kelainan proses pembuatan laksa berasnya.

Ramuan laksa beras Kak Su secara turun-temurun ialah tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Campuran itu kemudiannya diuli dengan tangan sebelum dijadikan doh berbentuk bulat dan direbus sekitar dua hingga tiga minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas untuk disebatikan semula dengan campuran tepung.

Untuk menghasilkan uraian halus laksa, bahan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin laksa atau ‘gebok’. Proses terakhir ialah doh berkenaan akan ditekan dalam acuan mesin sebelum terus jatuh ke dalam kawah yang tersedia air rebusan sebelum ditos dan dihidangkan kepada pelanggan.

Bagi menghasilkan kuah laksa pula, ikan segar seperti ikan temenung (kembong) dan selayang dibeli setiap hari daripada nelayan dan peniaga di Jeti Kuala Perlis yang terletak berhampiran.

Apa yang lebih istimewa untuk menikmati laksa di restoran Kak Su Laksa ialah laksanya akan dihidangkan bersama-sama pulut udang dan kuih spera.

Kuih spera, bentuknya seperti karipap tetapi intinya berupa sambal kelapa, seperti kuih cucur badak.

Kombinasi laksa dan kuih spera ini benar-benar memberi rasa yang unik dan sedap bagi penggemar laksa utara.

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN