Sebut sahaja juadah gorengan serta kuih tempatan, pasti terbayang kelazatannya! Hidangan seperti ayam berempah renyah, keropok lekor hingga ikan bakar dan sambal petai, semuanya menggamit selera.

Namun, proses menggoreng sering menimbulkan pelbagai cabaran.

Lantai kotor akibat percikan minyak, ruang kediaman berbau serta kandungan lemak dalam sajian makin bertambah. Maka tak hairanlah mengapa penggunaan air fryer kian popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, ramai juga mengeluh apabila masakan tradisional kelihatan kusam, liat, mahupun bantat apabila menggunakan perkakas ini.

Usah bimbang! Ketahui 4 hacks berkesan supaya hidangan kekal empuk, garing dan pastinya lebih sihat tanpa menjejaskan kelazatannya.

Baca juga: Kalau Selalu Masak Untuk Seorang, Ini 5 Bahan Wajib Ada Dalam Peti Sejuk. Tak Membazir & Jimat!

1. KEROPOK LEKOR

Keropok lekor sering bertukar keras dan liat sebaik sahaja sejuk jika dimasak menggunakan air fryer. Petuanya, semburkan sedikit minyak atau percikkan lapisan nipis cecair pada luaran keropok sebelum mula memasak.

Kaedah mudah ini menghalang permukaan luar kehilangan kelembapan mendadak sebelum isi dalamnya masak sempurna. Tetapkan suhu pada 180°C selama 8 hingga 10 minit dan goncang bakul perkakas ini separuh jalan.

Hasilnya, bahagian luar tampil rangup keemasan manakala di dalamnya kekal empuk serta kenyal.

2. AYAM GORENG BEREMPAH

Isi ayam menjadi kering sekiranya dimasak tanpa minyak. Langkah bijak, campurkan sesudu tepung jagung berserta sesudu besar minyak sewaktu proses perapan bersama rempah.

Minyak tersebut bertindak mengunci kelembapan semula jadi, manakala tepung memastikan segala rempah ratus kekal melekat pada ayam. Tetapkan suhu pada 180°C selama 15 minit, lalu laraskan ke 200°C buat 3 minit terakhir.

Hasilnya, lapisan luar ayam tampil garing dan kekal empuk di bahagian dalamnya

3. IKAN BAKAR SAMBAL PETAI

Ikan mudah terlekat pada jaring bakul air fryer, manakala minyak sambal berisiko membuatkan perkakas dapur ini comot serta sukar dibersihkan.

Solusinya, balut ikan yang disalut sambal tumis bersama petai menggunakan daun pisang mahupun kerajang aluminium. Teknik praktikal ini akan mengunci wap panas serta keharuman aroma semula jadi tanpa mengeringkan isi hidangan.

Laraskan suhu pada 190°C untuk tempoh 15 hingga 18 minit. Sajian ikan tampil lembut, manakala bahagian bakul kekal bersih tanpa perlu disental.

4. KUIH-MUIH TRADISIONAL

Kandungan santan dalam pencuci mulut tempatan mudah menjadi kering, manakala bahagian luarnya bertukar keras atau berkerak berikutan angin panas air fryer.

Langkah bijak, manfaatkan cawan acuan silikon di samping mengawal tahap kepanasan secara rapi. Teknik mudah ini dapat menghalang aliran udara daripada mengeringkan kelembapan santan.

Laraskan suhu pada 140°C hingga 150°C untuk 5 minit. Hasilnya, pencuci mulut tampil gebu, harum serta segar umpama baru dikeluarkan daripada kukusan.

3 PETUA EKSTRA UNTUK MASAKAN SEMPURNA

  • Gunakan botol semburan minyak. Titisan halus ini memastikan sapuan cecair menyeluruh tanpa berlebihan berbanding teknik tuangan biasa.
  • Panaskan air fryer terlebih dahulu. Elakkan meletakkan sajian di dalam bakul dingin. Tetapkan suhu awal 180°C selama 3 minit bagi mendapatkan tekstur garing.
  • Manfaatkan kertas lapik berlubang. Penggunaan alas berlubang penting agar kitaran udara panas tidak terhalang dari arah bawah.

Menyediakan hidangan harian kini lebih mudah dengan kaedah yang tepat. Ruang memasak kekal kemas, kediaman bebas bau dan sajian keluarga pastinya lebih berkhasiat.

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending