
Jom cuba resepi nasi dagang yang cukup terkenal dari Terengganu. Hidangan istimewa ini biasanya dimakan pada waktu pagi, tapi sebenarnya sedap dinikmati bila-bila masa bersama gulai ikan tongkol pekat berempah.
Bagi orang Pantai Timur, nasi dagang bukan sekadar makanan, tapi ia adalah simbol tradisi. Setiap kali ada kenduri atau majlis besar, inilah antara menu wajib yang disajikan buat tetamu yang datang.
Kalau anda rindu nak makan nasi dagang ala Terengganu, boleh cuba resepi lengkap yang dikongsikan oleh Puan Noorshahida Hassan ini di rumah. Hasilnya memang berbaloi, rasa sama macam makan di kedai!
Baca juga: Buat Sendiri Popia Satar Ikan Ori Terengganu, Ini Teknik Supaya Rangup Elok Selepas Digoreng
RESEPI NASI DAGANG TERENGGANU

Resepi Gulai Ikan Tongkol (Aya)
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan tongkol sederhana besar – rebus semalaman lebih sedap (air rebusan jangan dibuang, akan digunakan dalam kuah)
- 4–5 keping asam gelugur
- 1 keping nisan/gula melaka
- 3–4 sudu besar gula putih
- Sedikit cuka
- Garam secukup rasa
- 2–3 labu bawang besar atau bawang merah*
- 2–3 ulas bawang putih*
- 2 inci lengkuas*
- 2 senduk cili kering kisar*
- 4–5 sudu besar serbuk rempah gulai ikan Kelantan (jika tiada boleh guna serbuk kari ikan)
- ½ kg santan pekat (masukkan separuh dahulu, tambah jika perlu)
Cara-cara:
- Rebus ikan dengan asam keping, garam, gula melaka, gula putih dan sedikit cuka.
- Pastikan air ikan cukup hingga menenggelamkan ikan. Air rebusan ini akan digunakan untuk kuah.
- Kisar bahan bertanda (*) hingga halus. Tumis bersama serbuk rempah gulai atau serbuk kari sehingga pecah minyak dan garing.
- Masukkan air rebusan ikan diikuti santan. Kacau dan biarkan hingga mendidih.
- Masak hingga kuah mencapai kepekatan yang diingini. Tambah air jika kuah terlalu pekat.
- Rasa dahulu sebelum menambah garam atau gula kerana air rebusan ikan sudah mempunyai rasa.
- Renehkan kuah sekitar 30 minit supaya sebati. Bila kuah sudah naik minyak, masukkan ikan rebus. Masak sekejap sahaja supaya ikan tidak hancur.
- Taburkan cili padi merah dan hijau sebagai hiasan.
Resepi Nasi Dagang Terengganu
Bahan-bahan:
- 1 kg beras wangi siam (rendam 4–5 jam, kemudian toskan)
- ½ kg santan pekat
- 6 sudu besar gula
- 1 sudu besar garam
- 2 labu bawang merah besar (dihiris halus)
- 2 ulas bawang putih (dihiris halus)
- 1–2 inci halia (dipotong memanjang)
- 2 sudu besar halba
Cara-cara:
- Kukus beras kali pertama selama 20 minit. Jika beras masih keras, boleh renjiskan sedikit air dan teruskan mengukus. Gunakan garpu kayu untuk mengembangkan nasi, jangan kacau terlalu banyak supaya beras tidak hancur.
- Sementara itu, masak santan bersama gula dan garam sehingga mendidih. Tujuannya untuk pastikan nasi tahan lebih lama dan tidak cepat basi.
- Setelah beras separuh masak, pindahkan ke dalam bekas besar. Masukkan santan, halba, serta bahan hirisan. Gaul sebati.
- Biarkan nasi menyerap santan sekurang-kurangnya 1 jam (lebih lama, lebih baik). Ini penting supaya nasi betul-betul lemak dan tidak kering.
- Kukus semula nasi selama 5–10 minit sahaja. Bila sudah nampak wap keluar, tutup api dan angkat.
- Siap untuk dihidangkan bersama gulai ikan tongkol.
Tip tambahan:
Kalau suka lebih wangi, boleh tambah daun pandan masa mengukus nasi.
Untuk lauk tambahan, boleh hidangkan bersama acar timun atau telur rebus.
Sumber: Noorshahida Hassan
Baca juga: Resipi Sihat & Mudah, Mi Calong Terengganu Ini Sesuai Untuk Orang Diet & Berpantang
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














