Sedap juga kalau dapat makan mee goreng basah macam dekat kedai. Jangan risau kalau tak pandai buat, ikut je resepi mi goreng basah yang telah dikongsikan oleh Veera Saravanan ini.
Menurut Veera, terdapat beberapa jenis sayur yang sebaiknya dielakkan kerana ia boleh mengganggu rasa mee goreng ini. Untuk mengetahui resipi lengkap dan cara penyediaannya, lihat panduan di bawah.
Baca juga: Resipi Mee Goreng Togel Ala Mak Cik Kantin Sekolah, Simple Tapi Sedap Yang Amat!
RESEPI MI GORENG BASAH ‘BELEMUIH’
Bahan-bahan:
- 1 kg mee kuning, rendam dalam air panas selama lima minit
- 1 peket fish ball, potong nipis
- 1 peket fish cake, potong nipis
- 300 gm sawi hijau, potong dalam 5 cm
- 3 biji tauhu putih, potong kecil dan goreng dahulu
- 1 biji bawang besar, mayang halus
- 5 ulas bawang putih, cincang halus
- 3 sudu besar serbuk cili merah
- 5 sudu besar kicap pekat
- 5 sudu besar sos cili
- Garam dan lada sulah secukup rasa
- 4 biji telur ayam
- Minyak secukupnya
Cara-cara:
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
- Masukkan tauhu, fish cake, dan fish ball. Tambahkan sedikit garam. Kacau rata.
- Letakkan batang sawi dan ketuk-ketuk sedikit supaya lebih lembut. Tambahkan serbuk cili dan kacau rata.
- Masukkan mee kuning yang telah direndam dalam air panas. Tambahkan kicap pekat dan sos cili. Kacau rata sehingga semua bahan sebati.
- Tuang 1 cawan air dan biar mendidih sehingga kuah agak pekat.
- Masukkan daun sawi dan kacau rata.
- Pecahkan 4 biji telur ayam ke dalam kuali. Taburkan sedikit lada sulah dan garam di atas telur. Kacau semua bahan menggunakan dua senduk supaya lebih mudah. Gunakan api tinggi semasa memasukkan telur.
- Rasa garam dan jika sudah memadai, tutup api.
Mee goreng basah siap untuk dihidang. Untuk menambah variasi, anda boleh menambah kobis atau tomato jika suka, tetapi elakkan menambah tauge dan lobak merah kerana ia boleh mengganggu rasa hidangan ini. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Veera Saravanan
Baca juga: Resipi Mee Goreng Daging Laku Keras, Tumis Guna Bawang Putih Je Dah Cukup Sedap