Kalau makan yong tau fu, antara perkara yang membuatkan hidangan ini lebih menarik mestilah kuahnya. Ada yang suka kuah hitam dengan rasa manis dan masin, manakala ada juga yang lebih gemarkan kuah merah yang pedas serta berlemak kacang.

Menerusi perkongsian resipi ini, anda boleh sediakan dua jenis kuah yong tau fu sendiri di rumah. Kedua-duanya mempunyai rasa yang berbeza dan boleh digabungkan mengikut cita rasa masing-masing.

Lebih menarik, bahan yang digunakan pun mudah didapati. Kuah ini boleh dinikmati bersama aneka bebola, sosej, sayur-sayuran, sotong kangkung dan pelbagai bahan lain. Kalau suka rasa lebih pedas, boleh juga campurkan kedua-dua kuah ini sebelum dihidangkan.

Baca juga: Resipi Sos Thai Homemade, Tekstur Pekat Likat Memang Puas Nak Cicah Dengan Apa Pun!

RESEPI KUAH YONG TAU FU SEDAP

kuah yong tau fu

Bahan-bahan kuah hitam:

  • 2 sudu makan taucu
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • 2 sudu makan tepung gandum
  • 3 sudu makan kicap pekat
  • 3 sudu makan sos tiram
  • 4-5 sudu makan gula
  • 3 cawan air

Bahan-bahan kuah merah:

  • ½ cawan kacang tanah yang telah digoreng
  • 1 sudu makan tepung gandum
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • 4-5 sudu makan gula
  • 3 cawan air
  • ¼ sudu makan garam
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 2 ulas bawang putih (diketuk)
  • Sedikit minyak untuk menumis

Bahan taburan:

  • Bijan yang telah disangai
  • Bawang goreng

Cara-cara buat kuah hitam:

  1. Masukkan taucu, tepung jagung, tepung gandum, kicap pekat, sos tiram, gula dan air ke dalam pengisar.
  2. Kisar semua bahan sehingga taucu menjadi halus dan sebati.
  3. Tuangkan bahan kisar ke dalam periuk.
  4. Masak menggunakan api sederhana sehingga kuah mendidih seketika. Kacau supaya kuah tidak berketul atau melekat di bahagian bawah periuk.
  5. Apabila kuah mula pekat dan sebati, tutup api.

Cara-cara buat kuah merah:

  1. Masukkan kacang tanah goreng, tepung gandum, tepung jagung, gula, garam dan air ke dalam pengisar.
  2. Kisar sehingga kacang tanah menjadi halus.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih yang telah diketuk sehingga naik bau.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili agak kering serta pecah minyak.
  5. Tuangkan bahan yang telah dikisar tadi ke dalam kuali.
  6. Kacau rata dan masak selama kira-kira 5 minit sehingga kuah menjadi pekat.
  7. Tutup api apabila kuah sudah mencapai kepekatan yang diinginkan.

Cara menghidangkan:

  1. Sediakan aneka bahan pilihan seperti bebola ikan, bebola sotong, sosej, sayur-sayuran dan sotong kangkung.
  2. Susun bahan yang telah direbus atau dimasak di dalam mangkuk.
  3. Tuangkan kuah hitam dan kuah merah mengikut kuantiti yang disukai.
  4. Jika suka rasa lebih pedas, campurkan kedua-dua jenis kuah sehingga mendapat rasa yang sesuai.
  5. Taburkan bijan sangai dan bawang goreng sebelum dihidangkan.

Siap! Tak perlu tunggu makan di luar untuk menikmati yong tau fu bersama kuah kegemaran. Boleh buat sendiri di rumah dan nikmati kedua-dua pilihan kuah mengikut selera keluarga.

Sumber: Riza Molinda

Baca juga: Resipi Fish Ball Homemade Guna Isi Ikan Selayang, Mudah Rupanya…Uli Uli Siap!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending