Jika anda mempunyai banyak masa lapang di rumah, kami cadangkan anda cuba resepi Kek Butter simple ini yang hasilnya sangat gebu dengan cara membakar dalam oven.
Kek Butter merupakan antara kek lama yang masih relevan dan disukai ramai. Walaupun zaman sudah begitu moden, namun kek ini tetap berada dalam hati peminat kek sedunia.
Siti Nor Aminah telah sudi kongsikan resepi Kek Butter simple di Facebook yang hasilnya sungguh mengagumkan sampai ramai terpegun. Jom kita cuba!
Baca juga: Tips Untuk Simpan Kek Tahan Lama, Bila Tak Habis Makan Boleh Guna 2 Cara Ini
RESEPI KEK BUTTER SIMPLE
Bahan-bahan :
- 1½ cawan tepung gandum*
- 1 sudu teh baking powder*
- Secubit garam*
- 3 biji telur gred A
- ¾ cawan gula kastor (saya guna gula prai saja sebab gula kastor tak ada)
- 1 cawan butter
- 2 sudu kecil susu pekat
- 2 sudu besar susu segar
- Esen vanilla
- Sedikit pewarna kuning (nak letak warna apa-apa pon boleh)
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, ayak tepung gandum, baking powder dan garam.
2. Satukan gula dan butter ke dalam satu bekas, kemudian putar sehingga kembang.
3. Selepas itu, masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar.
4. Masukkan esen vanilla, susu pekat, susu segar dan pewarna, kemudian putar.
5. Masukkan bahan-bahan yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit sambil putar sehingga sebati, kemudian matikan mixer.
6. Oles loyang dengan butter dan lapikkan baking paper, kemudian tuang adunan ke dalam loyang.
7. Kemudian, bakar menggunakan suhu 180°C selama 30 minit pada rak tengah dengan api atas bawah.
8. Selepas 30 minit, tukar api bawah saja dan bakar sehingga masak. Setelah sejuk, boleh potong. Siap untuk dinikmati!
Resepi Kek Butter simple ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pencuci mulut dalam sebarang majlis. Manalah tahu ada jamuan sempena awal tahun, bolehlah buat kek ini.
Selamat mencuba!
Sumber: Siti Nor Aminah
Baca juga: Resepi Kek Butter Mudah Versi Mak-Mak, Gebu Mulus Bukan Main Lagi!