Dulu pernah viral tentang Corndog yang popular dengan keju tarik sampaikan ramai cuba membuatnya di rumah. Baru-baru ini, kami terjumpa resepi Corndog mudah versi mini.
Corndog adalah snek yang berasal dari Amerika Syarikat di mana sosej akan dibaluti dengan adunan tepung jagung bersama serbuk roti, kemudian digoreng dalam minyak masak yang panas.
Bagi membuatkan snek ini mudah dimakan, biasanya sosej akan ditusuk dengan lidi terlebih dahulu. Nak tambahkan lagi kesedapan snek ini, anda boleh letak keju mozarella semasa membuatnya.
Kali ini, kami begitu teruja untuk kongsikan resepi Corndog mudah dibuat oleh Zahirah Idris di Facebook kerana hasilnya dalam bentuk mini yang sangat comel. Jom kita cuba!
Baca juga: Sosej Gunting Lazat Untuk Minum Petang, Macam Beli Kat Pasar Malam!
RESEPI CORNDOG MUDAH VERSI MINI
Bahan-bahan:
- 1 sudu kecil gula
- ¼ sudu kecil garam
- ¼ sudu kecil yis (beli di kedai bakeri)
- Secawan tepung gandum
- ½ cawan air
- Serbuk roti
- Sosej
- Keju mozarella
- Lidi sate
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, gaul gula, garam, yis, tepung gandum dan air sehingga sebati dan tutup, kemudian biarkan selama 2 jam.
2. Sementara itu, boleh potong sosej (sebatang dipotong 3 bahagian) dan keju mozarella (sama saiz dengan sosej).
3. Cucuk sosej dahulu, kemudian cucuk keju mozarella di bahagian atas.
4. Kemudian, balut sosej tadi dengan bancuhan tepung yang sudah kembang.
5. Selepas itu, salutkan dengan serbuk roti.
6. Akhir sekali, gorengkan dalam api sederhana, angkat dan toskan. Siap untuk dinikmati!
Biasanya, Corndog akan dibuat dalam saiz besar supaya puas dimakan. Namun apabila dibuat dalam bentuk mini seperti ini, ia bolehlah dijadikan sebagai idea menarik untuk potluck.
Resepi Corndog mudah ini akan menjadi kesukaan ramai terutama golongan ibu yang ingin menarik selera anak untuk makan. Jika nampak snek ini, pasti mereka gembira nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Zahirah Idris
Baca juga: Resepi Corndog Dengan Keju Meleleh, Sedap Makan Panas-Panas!