Kuih klasik seperti nona manis terkenal dengan bentuknya yang comel berintikan manis santan dan rasa berlemak. Sekarang, ada yang lebih kreatif dengan membuat Nona Manis Sagu.
Cara menghasilkan Nona Manis Sagu sama seperti yang biasa dibuat, cuma berbeza pada adunan luar yang menggunakan sagu. Tambahan pula, hasilnya sangat cantik dan elok bentuknya.
Cikpuan Atysha telah kongsikan hasil Nona Manis Sagu yang dibuat di Facebook dan begitu ramai tertarik dengan resipinya. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Puding Sagu Pelangi, Begini Caranya Dapat Hasil Cantik Dan Tak Hancur
RESIPI NONA MANIS SAGU
Bahan-bahan adunan luar (sagu):
- 3 cawan sagu
- 1½ cawan gula (ikut citarasa)
- 5 sudu santan
- Sedikit garam
- Pewarna (ikut suka nak warna apa)
Bahan-bahan adunan tengah (putih santan):
- 8 sudu tepung gandum (tak kisah cap apa, saya pakai cap bunga)
- 1 cawan santan
- 1 sudu besar gula
- 2½ cawan air
- 1 sudu besar garam (agak-agak saja)
- 1 sudu besar tepung jagung
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, cuci dan rendam sagu sehingga kembang lebih kurang 10 minit, kemudian toskan.
2. Selepas itu, gaul sagu bersama gula, santan, garam dan pewarna.
3. Kemudian, sapukan minyak pada acuan, masukkan adunan sagu tadi dan buat lubang.
4. Seterusnya, kukus sehingga masak.
5. Sementara itu, boleh masak adunan putih santan tapi pastikan jangan terlalu pekat atau cair.
6. Setelah adunan sagu sudah masak, boleh masukkan adunan putih santan yang sudah dimasak tadi.
7. Akhir sekali, kukus semula sehingga masak. Siap untuk dinikmati!
Nona Manis Sagu ini bukan saja cantik warnanya, malah ia cukup berlemak dan rasa kenyal apabila dimakan. Jika teringin makan kuih di rumah, bolehlah buat resipi ini.
Selain dijadikan sebagai hidangan sewaktu sarapan, anda juga boleh jadikan kuih ini untuk dinikmati pada waktu petang bersama keluarga tersayang di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Cikpuan Atysha
Baca juga: Resepi Sagu Gula Melaka Sedap, Ada Petua Supaya Tak Hancur Dan Berketul