himpunan resipi menu raya

Mari lihat himpunan resipi menu raya yang anda boleh cuba. Memang mudah dan ringkas bila ikuti resipi-resipi lengkap ini. Setiap kali tiba Hari Raya, mesti ada yang mati akal nak memikirkan menu yang ingin disediakan.

Idea yang ringkas pun sudah mencukupi. Pemilihan minuman yang enak juga perlu diambil kira. Di Malaysia, selagi bulan Syawal belum berakhir, selagi itulah rumah terbuka sentiasa ada.

Menyambut kedatangan Hari Raya, pastinya kita ingin menyediakan hidangan yang lazat dan memikat bagi tetamu yang datang beraya ke rumah kita.

Baca juga: Kenali Jenis Kuih Raya Lama, Memang ‘Lejen’ Dan Jarang Dapat Jumpa

Bagi memudahkan persiapan dan menyediakan pelbagai pilihan untuk menyenangkan hati tetamu, MyResipi ingin berkongsi 5 himpunan resipi menu raya untuk rumah terbuka.


HIMPUNAN RESIPI MENU RAYA UNTUK RUMAH TEBRUKA

1. SET MENU SOTO AYAM

himpunan resipi menu raya

Bahan untuk rempah tumis kuah soto:

  • 3 biji bunga lawang
  • 2 batang kayu manis
  • 4 kuntum cengkih
  • 6 biji buah pelaga
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk lada putih atau lada sulah

Bahan untuk dikisar halus:

  • 5 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 inci halia
  • 1 ketul kunyit hidup

Bahan untuk kuah:

  • 1/2 senduk minyak masak
  • 1 ekor ayam saiz sederhana kecil, potong 4
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 jug air

Bahan untuk dihidangkan soto ayam:

  • 3-4 bungkus nasi impit, rebus sehingga masak dan potong dadu besar
  • 500 gram taugeh, bersihkan dan potong bahagian akar
  • Bawang goreng
  • Suhun, goreng hingga garing
  • Isi ayam goreng dari sup, dicarik halus
  • Daun sup, hiris kecil
  • Daun bawang, hiris kecil
  • Cili merah, hiris nipis
  • Kacang tanah, goreng dalam minyak
  • Begedil

Bahan untuk kuah kicap bercili:

  • 1 mangkuk kecil kicap manis
  • 10-15 biji cili padi
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 biji limau kasturi

Bahan-bahan begedil:

  • 500 gram (4-5 biji) ubi kentang, kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
  • 150 gram daging ayam kisar
  • 1 biji bawang besar, didadu kecil
  • 1 pokok daun sup, hiris halus
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 biji cili merah, cincang kasar (kalau nak sedikit pedas)
  • Garam secukup rasa
  • 1 biji telur ayam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara untuk masak ayam:

  1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng bawang besar sehingga lembut.
  2. Masukkan ayam kisar dan goreng sehingga ayam masak. Perasakan dengan sedikit garam.

Cara untuk masak begedil:

  1. Dalam kuali yang lain, panaskan minyak masak (anggaran 1 mangkuk). Goreng kentang sehingga kekuningan dan lembut. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Ketika kentang masih panas, hancurkan kentang dengan cara melenyek kentang sehingga halus menggunakan potato masher atau garfu.
  3. Masukkan bawang goreng, daun sup, ayam (yang dimasak tadi) dan serbuk lada putih. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  4. Ambil sedikit adunan dan buat bulat. Kemudia leperkan sedikit dan susun di atas pinggan atau dulang.
  5. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu supaya sebati. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan.
  6. Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.

Cara Penyediaan sup ayam:

  1. Panaskan minyak masak, masukkan bahan tumis dan kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan bahan kisar. Kacau dan masak rempah sehingga garing.
  2. Masukkan ayam dan kacau selama 1-2 minit. Masukkan air, kiub ayam dan rebus sup sehingga mendidih seketika.
  3. Masukkan pula santan pekat dan masak sehingga ayam lembut dan empuk.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Angkat ketulan ayam dan gorengkan seketika sehingga kekuningan. Sejukkan dan carik isi ayam.
  6. Hidangkan dengan cara masukkan ketulan nasi impit, isi ayam, taugeh, daun sup, cili merah, begedil, bawang goreng, suhun goreng dan kacang tanah. Tuang kuah secukupnya. Soto harus dimakan bersama cili kicap.

Cara untuk cili kicap:

  1. Goreng cili dan bawang putih di dalam minyak sehingga lembut dan angkat.
  2. Dalam pengisar, masukkan cili dan bawang putih goreng tadi dan kisar sehingga halus.
  3. Tuang ke dalam mangkuk dan perah jus limau kasturi. Kacau sebati.

Kredit: Che Nom


2. SET MENU NASI AYAM

himpunan resipi menu raya

Bahan untuk ayam (direbus):

  • 1 ekor ayam dipotong 8
  • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
  • 2 cm halia, ditumbuk halus
  • 1 kiub ayam

Bahan untuk ayam (diperap):

  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 cm halia, ditumbuk halus
  • 2 ulas bawang putih, ditumbuk halus
  • 1 sudu besar kicap cair
  • Sedikit madu untuk sapuan

Bahan untuk nasi:

  • 3 cawan beras
  • 4 cawan air rebusan ayam
  • 2 sudu besar butter
  • 1 cm halia ditumbuk halus
  • 3 ulas bawang putih ditumbuk halus
  • Sedikit garam
  • 2 bunga lawang*
  • 4 buah pelaga*
  • 1 kayu manis*
  • 1 batang serai ketuk
  • 2 helai daun pandan
  • Sedikit kunyit untuk warna dan aroma

Bahan untuk sos:

  • 5 biji cili merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 1 sudu besar cuka
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula
  • 1/2 cawan air rebusan ayam

Bahan untuk sup:

  • Air rebusan ayam
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • Rempah sup bunjut
  • Garam
  • Daun sup dan daun bawang – dihiris

Bahan untuk kuah kicap:

  • Kuah kicap perapan ayam di atas
  • Kicap manis cap kipas udang
  • Sedikit garam
  • Air rebusan ayam

Cara untuk ayam:

1. Bersihkan ayam, toskan air dan lumurkan dgn 2 ulas bawang putih dan halia yg diketuk.
2. Rebus ayam bersama 1 kiub ayam sehingga empuk.
3. Angkat ayam dan perap dengan bahan perap selama 1/2 jam (rujuk bahan perap untuk ayam)
4. Kemudian goreng dalam kepanasan api sederhana seketika, angkat dan sapukan dengan madu.

Cara untuk memasak nasi:

1. Basuh beras dan tos air.
2. Panaskan butter lalu tumiskan rempah tumis(*), daun pandan, serai, halia serta bawang putih hingga garing.
3. Masukkan beras dan masak seketika sehingga naik aroma dan bau. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kunyit secukupnya. Masak nasi seperti biasa.

Cara untuk memasak sup:

1. Rebus air rebusan ayam bersama rempah sup bunjut, bawang besar, dan masukkan garam secukup rasa.
2. Taburkan dengan bawang goreng dan hirisan daun sup.

Cara untuk memasak sos:

1. Kisarkan semua bahan di atas.
2. Boleh juga dimasak sebentar untuk menaikkan aroma.

Cara untuk memasak kuah kicap: Campurkan semua bahan untuk kicap dan masak seketika. Sejukkan sebelum dihidang.

Tips: Pastikan ayam tidak direbus terlalu lama kerana nanti apabila di rebus terlalu lama isi ayam akan mudah hancur ketika menggoreng.

Kredit: Che Nom


3. SET MENU NASI BERIANI JOHOR

himpunan resipi menu raya

Bahan bahan:

  • 5 pot beras Basmathi
  • 1-2 biji buah tomato – direbus
  • 1 helai daun pandan
  • 1 ikat batang ketumbar
  • 4-5 sudu besar minyak sapi
  • Rempah 4 sekawan – kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih
  • Sedikit garam
  • Sedikit susu cair

Bahan kisar basah:

  • 5 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Bahan kisar kering: 1-2 sudu besar rempah ketumbar, jintan manis & jintan putih

Cara cara:

1. Panaskan minyak sapi. Tumis rempah 4 sekawan, daun pandan dan daun ketumbar.
2. Masukkan bahan kisar basah dan kacau seketika sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar kering dan buah tomato yang direbus tadi.
3. Masukkan beras dan goreng seketika. Tuang air secukupnya dan sedikit garam.
4. Masak nasi dalam rice cooker seperti biasa sehingga air hampir kering. Bila air telah kering, tuangkan susu cair. Kacau rata dan tutup periuk.
5. Bila air telah kering, titis pewarna kuning telur dan tutup periuk. Jangan dikacau. Setelah nasi benar benar masak, baru dikacau rata.
6. Boleh tabur bawang goreng, sebelum dihidangkan.

Resipi Daging Beriani

Bahan bahan:

  • 2 kg daging batang pinang – potong besar
  • Rempah 4 sekawan – kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih
  • 2 helai daun pandan
  • 1 ikat daun ketumbar – dengan akar sekali
  • 5-6 sudu besar minyak sapi
  • 1/4 tin susu cair
  • 2 biji buah tomato – direbus
  • Garam
  • Gula

Bahan kisar basah:

  • 20 biji bawang merah
  • 10 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 2 genggam cili kering – 10-12 sudu besar cili kering kisar

Bahan kisar kering:

  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 3 sudu besar ketumbar

Cara cara:

1. Bahan kisar kering disangai terlebih dahulu sebelum dikisar kering. Ketepikan.
2. Buah tomato direbus terlebih dahulu sehingga kulitnya boleh ditarik keluar. Atau jika suka boleh juga guna buah tomato dalam tin.
3. Panaskan minyak sapi secukupnya dan tumis rempah 4 sekawan dengan bahan kisar basah.
4. Masukkan daun pandan dan daun ketumbar. Kemudian masukkan pula bahan kisar kering. Tumis sehingga wangi dan terbit minyak.
5. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga cili benar benar masak dan garing. Masukkan buah tomato. Nota: Buah tomato boleh dimasukkan kemudian ketika mengeringkan kuah. Lebih mudah untuk adjust rasa, takut terlebih masam.
6. Masukkan daging ke dalam periuk pressure cooker. Kemudian tuang bahan tumisan ke atas daging dan kacau rata. Masak di dalam pressure cooker dan masak selama 30 minit.
7. Keluarkan daging dari pressure cooker dan pindahkan ke dalam kuali. Terus masak sehingga pekat yang disukai.
8. Akhir sekali, masukkan sedikit susu cair, garam dan gula secukup rasa. Angkat.
Tabur bawang goreng dan daun ketumbar sebagai hiasan sebelum dihidangkan

Kredit: Azie Kitchen


4. SET MEE KARI

himpunan resipi menu raya

Bahan-Bahan:

  • 1 kg mee kuning
  • 500 gram ayam, potong kecil
  • 1 kg kerang, rebus dan ambil isi
  • 300 gram udang, buang kulit
  • 2 cawan air rebusan dari kulit udang yang dibuang
  • 10-15 biji bebola ikan (fish ball)
  • 3 keping kek ikan (fish cake)
  • 4 sudu besar rempah kari ayam, bancuh menjadi pes pekat
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 biji kentang atau 1/2 biji keledek merah, rebus dan lecek halus
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan santan cair (boleh digantikan dengan santan kotak)

Bahan untuk rempah tumis:

  • 1 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum cengkih
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 tangkai daun kari
  • Bahan untuk kisar halus:
  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 batang serai, hiris nipis
  • 10 tangkai cili kering, rebus dan toskan air
  • 2 sudu besar udang kering, rendam sehingga lembut.

Bahan untuk hiasan:

  • 4 biji telur rebus, potong dua
  • 2 tangkai sawi, potong dan rebus
  • Bawang goreng
  • Limau kasturi, potong dua
  • Taugeh
  • Daun bawang
  • Cili merah
  • Tauhu kering goreng

*saya rebus udang dan letak sebagai hiasan istimewa

Cara Penyediaan:

1. Panaskan air sehingga mendidih dan celur mee kuning seketika. Angkat dan toskan.
2. Panaskan minyak, masukkan bahan rempah tumis dan kacau sehingga naik bau. Masukkan pula bahan kisar halus bersama pes rempah kari.
3. Kacau sehingga agak garing dan betul-betul pecah minyak.
4. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga separuh masak kemudian tuang air rebusan udang dan santan cair. Masak kuah sehingga mendidih.
5. Masukkan pula santan pekat, bebola ikan, kek ikan, udang, kerang, asam gelugor dan kentang (ataupun keledek) lecek. Kacau kuah semasa proses memasak supaya santan tidak pecah minyak.
6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Hidangkankan mee bersama bahan hiasan dan tuang kuah secukupnya.

Tips:

1.Apabila kuah sudah siap, angkat keluar asam keping jika rasa kuah sudah masam untuk mengelakkan kuah terlebih masam.
2.Boleh juga gunakan santan kotak (1 kotak) dan campurkan sedikit air untuk kuah.

Kredit: Che Nom


5. KUZI AYAM DAN ROTI JALA

Resipi Kuzi Ayam

Bahan perap ayam:

  • Saffron
  • Halia
  • Bawang putih
  • Garam
  • Potong kiub dan goreng:
  • Hempedal ayam
  • Hati ayam – (rebus dulu), kalau suka
  • 2 biji bawang besar

Bahan goreng:

  • 15 biji bawang merah (setelah goreng, ditumbuk halus)
  • 1/2 cawan kismis
  • 1/2 cawan badam potong memanjang

Bahan tumis:

  • 6 bawang merah – blend
  • 4 bawang putih – blend
  • 4 sudu besar rempah kuzi
  • 1 cawan minyak (campur minyak sapi)
  • 1 tin susu cair
  • 1 botol sos tomato del monte

Cara cara:

1. Panaskan minyak.
2. Goreng bawang merah hiris, tos. goreng bawang besar hingga kuning, tos.
3. Goreng badam hingga kuning, tos. goreng kismis, tos. Goreng hempedal ayam, tos.
Akhir sekali goreng ayam separuh masak.
4. Dengan guna minyak yang sama, tumis bawang merah dan putih yang diblend hingga naik bau.
5. Masukkan rempah kuzi yang telah dicampur dengan air. Goreng hingga wangi.
6. Masukkan air, susu cair, sos tomato, kacau rata.
7. Masukkan bahan goreng yang lain spt ayam, bawang goreng tumbuk, badam, kismis, hempedal, bawang besar goreng dsb.
8. Masukkan gula dan garam.
9. Masak hingga agak pekat.
10. Sedap dimakan dengan roti jala, nasi minyak dan sebagainya.

Resipi Roti Jala 

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 cawan air / santan (saya guna 2 cawan air & satu kotak kecil santan)
  • 2 setengah sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil pewarna kuning / warna apa pun boleh
  • 1 biji telur Gred A

Cara – Cara:

1. Mula-mula, kita blend semua bahan sampai sebati.

2. Kemudian, dah boleh terus masukkan adunan tadi ke dalam botol. Sekarang ni dah banyak jual dekat kedai plastik atau pasar raya, memang senang menjala sebab picit je atas kuali leper

3. Sapu minyak sikit dekat kuali, lepas tu bolehlah terus menjala. Guna api kecil saja. Masak sampai tak nampak warna air tepung tu dah kira masaklah, tak perlu balikkan lagi..

4. Kemudian masa panas-panas, lipat atau gulungkan sampai jadi bentuk roti jala yang kita nak. Siap. Memang gebu dan lembut. Esok pagi makan pun masih lembut lagi tau.

Kredit: Azie Kitchen


Dengan menyediakan himpunan resipi menu raya yang pelbagai dan lazat seperti ini, pasti tetamu akan merasa gembira dan teruja untuk beraya di rumah anda. Selamat menyambut Hari Raya dan selamat menjamu selera!

Baca juga: 30 Idea Menu Open House Raya, Semuanya Sedap-Sedap Belaka!

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN