Sesiapa yang berminat dengan masakan India dan teringin masak sendiri di rumah, kami cadangkan anda cuba buat resipi Ayam Masala yang terlajak sedap ini.
Apabila bercerita tentang masakan India, pasti anda tahu tentang aneka hidangannya yang terkenal dengan gabungan rasa pedas dan kaya dengan rempah.
Jika buat lauk sama setiap hari, jadi jemu juga. Oleh itu, anda boleh ubah selera dengan memasak Ayam Masala mengikut resipi oleh Nasriah Ramli di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Senangnya Buat Ayam Percik Air Fryer Di Rumah, Isi Pun Lebih ‘Juicy’ Dan Lazat!
RESIPI AYAM MASALA
Bahan-bahan:
- 1 ekor ayam
- ½ cawan yogurt
- Halia (dikisar)
- Bawang putih (dikisar)
- Bawang goreng
- Ketumbar
- Jintan manis
- Jintan putih
- Minyak masak
- 2 labu bawang besar (dihiris)
- Daun bay atau salam
- Rempah 4 sekawan (bunga cengkih, bunga lawang, kayu manis, buah pelaga)
- 3 sudu besar serbuk cili
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1 cawan air
- Garam secukup rasa
- Sedikit gula perang
- Daun ketumbar
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, sebatikan ayam bersama yogurt, bawang goreng, halia dan bawang putih yang telah dikisar dalam satu bekas, kemudian perap selama 1 jam.
2. Sementara itu, boleh sangai ketumbar, jintan manis dan jintan putih, kemudian tumbuk halus.
3. Seterusnya, panaskan minyak dan tumis bawang besar yang telah dihiris bersama daun bay atau salam dan rempah 4 sekawan.
4. Apabila sudah naik bau, masukkan serbuk cili, serbuk kunyit dan rempah-ratus yang telah ditumbuk tadi, kemudian masak sehingga pecah minyak atau garing.
5. Selepas itu, masukkan ayam yang telah diperap tadi dan tambah air, kemudian biarkan ia mereneh.
6. Akhir sekali, perasakan dengan garam secukup rasa bersama sedikit gula perang dan tabur daun ketumbar. Siap untuk dihidang!
Sekali-sekala nak makan masakan India, bolehlah buat Ayam Masala ini. Selain dijadikan lauk untuk dimakan dengan nasi, anda boleh nikmatinya bersama roti canai. Sedap tau!
Selamat mencuba!
Sumber: Nasriah Ramli
Baca juga: Ayam Masak Kunyit Halia, Lauk Sedap Ini Sebijik Macam Mak-Mak Masak