Siapa penggemar ayam goreng dekat sini? Jom cuba buat Ayam Goreng Serai Thai pula. Resipi ini memang ringkas, mudah, dan sedap! Sesuai dimakan untuk anak-anak yang berhantu makan ayam goreng macam Upin Ipin tu.
Walaupun bahan-bahannya agak banyak, namun hanya tinggal kisar dan gaulkan pada ayam sebelum digoreng.
Baca juga: Resipi Viral Ayam Goreng Hatyai, Hanya Guna 4 Bahan Ini Je
Lagi nikmat bila guna bahagian kepak dan drummettes ayam. Memang licin pinggan dibuatnya. Lepastu perap ayam pun tak perlu lama, dalam 10 minit bila dah sebatikan boleh terus panaskan minyak dan menggoreng.
Resipi ini telah dikongsikan sendiri oleh Khadijah Jaafar di laman Facebook dan telah meraih sehingga 2.7k shares! Wow, mesti ramai ibu-ibu yang hendak mencubanya.
RESIPI AYAM GORENG SERAI THAI
Tak perlu buang masa lagi, jom kita lihat satu persatu bahan=bahan memasak yang diperlukan dalam penyediaan ayam goreng ini.
Bahan-bahan:
- 1/2 ekor ayam – dipotong sederhana kecil
- 3 batang serai
- 5 ulas bawang putih
- 2 akar ketumbar
- 2 sdk lada hitam
- 2 sdb sos tiram
- 1 sdb sos ikan
- 1 sdk gula
- 2 sdb tepung jagung
- Daun limau purut – dihiris halus
- Minyak masak
Cara-cara memasak:
1. Mula -mula, potong serai panjang lebih kurang 4cm. Supaya bila serai ditumbuk, ia jadi cantik panjang-panjang. Bila menggoreng pun jadi rangup dan wangi.
2. Bahan untuk perapan pula, tumbuk atau kisar bawang putih, akar daun ketumbar serta lada hitam.
3. Tumbuk bahan perapan jangan terlalu hancur, kasar sedikit pun tak apa.
4. Selepas itu, campurkan ke semua bahan dalam satu bekas kecuali daun limau purut. Gaulkan kesemua bahan dengan ayam biar sebati.
5. Panaskan minyak dan gorengkan ayam tersebut sehingga nampak agak garing. Angkat dan toskan. Siap untuk makan!
Memang harum semerbak tau bau ayam goreng ini. Perut anak-anak auto berbunyi bila tengok korang menggoreng di dapur. Hiks!
Selamat mencuba!